Understanding child with autism

“Memahami anak-anak autistik”

Oleh Dr. Tam Cai Lian (Pensyarah di Jabatan Psikologi, Fakulti Kesihatan dan
Kesihatan Semulajadi Kolej Universiti Sunway)

ANNIE anak yang cukup comel. Dia jarang menangis dan boleh diletakkan dalam buaian berjam-jam lamanya. Tetapi ketika menjangkau umur tiga tahun, perangainya banyak berubah. Dia kerap menunjukkan tingkah laku mengganggu dan jarang ada pertembungan
mata (eye contact) dengan sesiapa. Tingkah lakunya amat agresif dan sukar dikawal.

Dengan sedikit sahaja gangguan emosi, dia akan menjerit, berguling di lantai dan menghantukkan kepalanya ke dinding. Seisi keluarga cuba bertolak ansur dan memenuhi kemahuannya untuk mengelakkan kecederaan fizikal. Ibunya berasa letih dan tertekan untuk menjaga dan mengajar anaknya. Atas usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi, tidak juga nampak perubahan yang ketara atas tingkah laku anaknya.

Ibu bapa Annie berasa amat khuatir dan berikhtiar untuk mengubati
penyakitnya. Selepas menjalani dianogsis yang rapi daripada pakar, disahkan
bahawa anaknya menghidap kecelaruan autistik.

Apabila seseorang bayi dilahirkan, ibu bapa menaruh harapan untuk menjaga
dan menyayangi darah dagingnya dengan sempurna. Pada masa yang sama, mereka
berharap anak dapat membalas jasa mereka.

Namun, malangnya dalam setiap 10,000 bayi yang lahir, empat daripada mereka
berkemungkinan menghidap kecelaruan autistik.

Autisme ialah sejenis kecelaruan yang tidak diberi perhatian yang serius
oleh ibu bapa disebabkan oleh kejahilan mereka. Sedangkan mengikut Persatuan
Psikiatrik Amerika (APA) pada tahun 2000, kadar autisme adalah 2 hingga 20
orang dalam setiap 10,000 manusia.

Terdapat kanak-kanak yang menghadapi isolasi yang serius sejak peringkat
bayi. Mereka mengasingkan diri daripada pergaulan, pertembungan mata dan
amat sukar untuk berinteraksi serta melahirkan perasaan hatinya.

Ramai di antara mereka melukakan diri sendiri atau melakukan perbuatan yang
sama secara berulang-ulang selama berjam-jam. Secara tradisional, situasi
ini dikenali sebagai ‘infantile autism’ (berasal daripada perkataan Greek,
Autus bererti diri).

Kini, para penyelidik mendapati bahawa kecelaruan ini berlaku seumur hidup
dan memerlukan ketabahan yang tinggi khususnya daripada ibu bapa untuk
membantu anaknya.

Terdapat ciri-ciri umum untuk kecelaruan autistik. Antaranya adalah
ketidakupayaan dalam komunikasi. Kanak-kanak autistik menghadapi masalah
untuk berkomunikasi, menjalin hubungan sosial dan berfikir secara kreatif.

Mereka hidup dalam dunia sendiri. Pada peringkat bayi, anak autistik tidak
peduli sama ada dipeluk atau tidak oleh ibu bapanya.

Pada peringkat awal kanak-kanak, mereka akan mengasingkan diri serta
menunjukkan reaksi yang agresif ketika dipegang, disentuh dan dipeluk.
Mereka tidak suka senyum dan bertentang mata ketika berkomunikasi.

Jika sakit, luka atau duka, anak autistik tidak akan meluahkan masalah untuk
mengurangkan ketidakselesaan. Ini bererti jarang adanya ekspresi perasaan
muka dalam pertuturan.

Mereka suka berseorangan, tidak suka menjalinkan hubungan dengan orang lain
dan hidup dalam dunianya sendiri.

Hampir 50 peratus daripada anak autistik tidak dapat menguasai teknik
pertuturan. Anak-anak ini mempunyai suatu corak komunikasi yang digelar
‘echolalia’, iaitu mengulangi perkataan orang lain.

Contohnya kalau ditanya ‘Annie, sudah makan?’. Dia akan membalas dengan
mengulangi hampir keseluruhan ayat dengan berkata ‘Annie, nak makan?’. Dalam
kebanyakan kes, bukan sahaja perkataan diulangi malah intonasinya juga sama.

Walaupun ada segelintir anak autistik yang dapat bertutur, namun mereka
tetap menghadapi masalah berinteraksi dengan sekeliling secara berkesan.

Selain itu, anak autistik memperlihatkan tingkah laku dan minat yang agak
luar biasa. Annie misalnya suka menyusun alat permainannya dengan cara yang
sama pada tempat yang sama.

Tiada siapa yang berani menyentuh atau menukar cara susunannya. Sekiranya
alat permainannya hilang atau pernah ditukar cara susunan, dia akan mengamuk
dan melonjak-lonjak.

Anak autistik sangat sensitif terhadap kehilangan benda. Mereka mempunyai
kesabaran menyusun berpuluh-puluh biji guli secara teratur setiap hari tanpa
berasa bosan.

Mereka dapat mengesan dengan cepat walaupun kehilangan satu atau dua biji
gulinya. Keupayaan yang menakjubkan ini digelar maintenance of sameness
iaitu pengekalan kesamaan.

Anak autistik sanggup menggunakan masa yang panjang untuk mengulangi sesuatu
perbuatan seperti memusingkan badan dalam bulatan, melambai tangan di depan
mata sendiri atau menggigit kuku.

Sekiranya perbuatannya diganggu, mereka akan mengamuk dan menunjukkan
ketidakstabilan emosi. Anak autistik sering melakukan sesuatu mengikut
kemahuannya tanpa merujuk kepada orang lain.

Sikap mereka yang angkuh, suka menghafal, mengulang dan tidak menghiraukan
kewujudan orang lain merupakan halangan yang merumitkan proses pembelajaran
mereka.

Menurut APA lagi, kebanyakan tanda anak autistik dapat dikesan sebelum usia
mereka mencecah 3 tahun. Hampir 50 peratus daripada anak autistik mempunyai
IQ (Darjah Kecerdasan) kurang daripada 50, iaitu julat kecacatan akal yang
serius.

Sementara itu, hampir 25 peratus tergolong dalam julat IQ 50 hingga 70
manakala bakinya memperlihatkan purata IQ yang melebihi 70.

Ujian IQ amat berguna untuk menentukan pronogsis anak autistik. Semakin
tingginya skor IQ, semakin kurang sokongan keluarga yang diperlukan.

Untuk mereka yang memperoleh skor IQ yang rendah juga menghadapi masalah
menguasai kebolehan berkomunikasi. Anak sedemikian memerlukan sokongan
sosial dan pendidikan yang jauh lebih banyak apabila dewasa.

Untuk kebanyakan kes, keupayaan menguasai sesuatu bahasa dan skor IQ
merupakan petunjuk ramalan yang boleh dipercayai untuk masa depan anak
autistik.

Punca berlakunya kecelaruan autistik boleh ditinjau daripada perspektif
psikologikal, sosial dan biologikal. Autisme merupakan suatu kecelaruan yang
masih memerlukan banyak penerokaan.

Autisme bukan berpunca daripada suatu faktor sahaja tetapi kombinasi faktor
biologikal dan psikososial untuk melahirkan tingkah laku yang luar biasa.

Pada peringkat permulaan, Kanner (1943) mengatakan autisme berpunca daripada
faktor biologikal.

Dingin

Tidak lama kemudian, pakar klinikal pula membantah dengan mengatakan autisme
adalah dipelajari. Keadaan anak sedemikian disebabkan ibu bapa yang bersikap
dingin, tidak suka bergaul dan suka mengawal tingkah laku anaknya.

Pada tahun 1967, Bettelheim turut menyokong dengan mengatakan bahawa
kecelaruan autistik berlaku hasil daripada gaya layanan ibu bapa yang
bercorak kesempurnaan, jarang berkomunikasi dengan anak dan secara
relatifnya, jenis keluarga sedemikian mempunyai status ekonomi yang tinggi.

Bettelheim percaya bahawa tingkah laku anak autistik sama seperti askar
Jerman yang masih hidup di kem ketika Perang Dunia Kedua. Kumpulan askar ini
menunjukkan ciri-ciri autistik seperti tidak prihatin, mengasingkan diri dan
juga kelihatan murung.

Pembaca pasti dapat membayang betapa pedihnya hati ibu bapa yang memarahi
dirinya dan menyalahkan diri sendiri di atas kelahiran anak sedemikian.

Dari perspektif lain, pada tahun 1975, Cox dan pakar psikologi yang lain
telah menjalankan penyelidikan ke atas ibu bapa anak autistik.

Mereka mendapati ibu bapa ini bersifat mesra, suka bergaul dan berintraksi.
Walaupun memiliki anak-anak autistik, mereka juga melahirkan anak-anak lain
yang normal.

Tahun kebelakangan ini, dimensi biologikal pula lebih diberi keutamaan oleh
para penyelidik dan pusat kesihatan profesional.

Beberapa faktor telah dikaitkan dengan kecelaruan autistik termasuk German
measles, hypsarrhythmia, cytomegalovirus dan kesukaran bersalin. Terdapat
juga bukti yang menunjukkan bahawa autisme disebabkan faktor genetik.

Risiko

Jones dan Szatmari (1988), mengatakan bahawa ramai ibu tidak mahu mengandung
selepas melahirkan anak autistik kerana bimbang akan risiko mendapat anak
yang menghidap kecelaruan tersebut lagi.

Menurut Cook, 2001, keluarga yang mempunyai anak autistik menghadapi
kebarangkalian 3 peratus hingga 5 peratus untuk melahirkan anak autistik
yang berikutnya.

Faktor genetik dikaitkan dengan sindrom X yang mengandungi komponen
biokimia. Bukti terbaik untuk faktor genetik lahir daripada kajian anak
kembar “Twin Studies”.

Kajian ini menunjukkan bahawa anak autistik daripada kembar monozigotik
memperlihatkan peratusan autisme yang tinggi, iaitu 70 peratus manakala
peratusan autisme untuk anak kembar dyzygotic adalah – 0 (Folstein & Rosen,
2001).

Keputusan kajian menunjukkan bahawa kecelaruan autistik boleh diwarisi.
Penyelidik genetik mencadangkan bahawa gen yang terlibat dalam kecelaruan
autistik mungkin terletak pada kromosom 2,7,15 dan x.

Bukti sedemikian turut diperoleh oleh Wassink et al (2001) yang mengatakan
bahawa gen WNT2 terletak pada kromosom 7 yang mana gen inilah yang memainkan
peranan utama dalam menyebabkan kecelaruan autistik.

Untuk kebanyakan anak autistik, mereka menghadapi aras serotonin dan
dopamine yang tinggi.

Tsai dan Ghasinddin pada 1992 pula mengatakan 30 hingga 75 peratus daripada
golongan autistik memperlihatkan struktur neurologikal yang luar biasa.

Manakala penyelidik yang menggunakan teknologi CT dan MRT mendapati bahawa
wujudnya keadaan yang luar biasa untuk bahagian serebelum iaitu saiz yang
lebih kecil berbanding orang normal.

Walaupun keluarbiasaan otak ini bukan dijumpai di setiap kajian, ini
merupakan dapatan yang lebih boleh dipercayai. Menurut kajian, jantina
merupakan satu faktor bahaya yang signifikan.

Lelaki menunjukkan kecenderungan yang lebih tinggi menghidap autisme
berbanding dengan perempuan. Kadarnya adalah tiga hingga empat lelaki
berbanding perempuan, satu sahaja.

Kajian autistik merupakan suatu bidang yang baru dan masih memerlukan suatu
kombinasi teori yang lebih lengkap.

Kebanyakan anak autistik tidak dapat menjaga dirinya dengan sempurna. Mereka
terpaksa berada di rumah bersama ahli keluarganya. Sebagai ibu bapa, mereka
tidak seharusnya berputus asa.

Penulis mempunyai seorang rakan yang anaknya Pennie telah menghidap
kecelaruan autistik. Pada peringkat permulaan, pasangan suami isteri ini
berasa kecewa dan sedih. Mereka enggan menerima kenyataan.

Namun atas pegangan agama dan azam yang kukuh, mereka telah berubah sikap
dan ingin membantu anaknya dengan hati terbuka. Pennie telah dihantar ke
sekolah khas ketika berumur 4 tahun untuk menerima pendidikan.

Untuk menjayakan program bimbingan si anak, mereka telah mengambil bahagian
secara aktif. Pada hakikatnya, penguasaan bahasa dan keupayaan
bersosialisasi merupakan aspek penting dalam segala rawatan atau program
yang dikendalikan.

Selepas dua tahun menjalani latihan dari sekolah khas, Pennie menampakkan
perubahan yang ketara. Dia lebih ceria, mesra dan tidak lagi begitu agresif.

Selain itu, kanak-kanak itu mulai boleh duduk diam untuk mendengar seketika
dan berkomunikasi secara ringkas. Tingkah lakunya yang tidak normal juga
banyak berkurangan. Ibu bapa dan guru menggunakan teknik pengukuhan seperti
diberi buku bergambar selepas berjaya dalam suatu pembelajaran.

Anak merupakan kurniaan Tuhan. Anak-anak autistik yang malang ini seharusnya
menerima limpahan kasih sayang dan sokongan yang tidak berbelah bahagi
daripada ahli keluarganya.

Dari segi perubatan psikososial misalnya, penekanan dari segi komunikasi dan
sosiolisasi diberi keutamaan. Untuk perubatan biologikal pula, didapati
kesannya tidak begitu baik.

Kebanyakan terapi anak autistik meliputi pendidikan khas dalam bidang
komunikasi dan sosiolisasi. Pendekatan tingkah laku didapati paling berkesan
dalam membantu penguasaan pembelajaran anak autistik.

Apabila dewasa, anak autistik harus digalakkan mengambil bahagian dalam
intervensi yang melibatkan komuniti. Ibu bapa anak autistik harus menerima
sokongan moral daripada ahli-ahli keluarga dan masyarakat kerana mereka
menghadapi tekanan yang tinggi.

Komuniti juga harus bersimpati dan prihatin terhadap anak autistik,
menghulurkan bantuan dan sokongan moral supaya mereka dapat menjalani
kehidupan seperti orang biasa.

Kepada ibu bapa, jangan sekali-kali berputus asa jika mempunyai anak
autistik. Berikanlah rawatan dan pendidikan khas seberapa awal yang boleh
kepada anak-anak dan jangan biarkan mereka terabai begitu sahaja.