perkemviii
 
 
Laman Utama
Sub Tema
Tarikh Penting
Pendaftaran
Kertas Kerja
Hubungi kami
Prosiding PERKEM
Aturcara Program
Peta Hotel

PERSIDANGAN KEBANGSAAN EKONOMI MALAYSIA (PERKEM) KE-VIII 2013

sponsors

Dengan kerjasama Majlis Profesor Negara, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, berbesar hati menjemput ahli akademik, penyelidik, pegawai agensi kerajaan dan swasta dan pelajar pasca siswazah untuk bersama-sama menyertai persidangan ini dengan menulis dan membentangkan kertas kerja persidangan berdasarkan sub tema yang telah dipilih.


Dasar  Awam  dalam  Era  Transformasi  Ekonomi: Cabaran dan Halatuju

Pengenalan

Tujuh tahun sebelum matlamat Wawasan  2020 berjaya direalisasikan adalah satu tempoh masa yang pasti memberikan pelbagai cabaran dan rintangan kepada halatuju negara khususnya daripada aspek pengurusan dan perlaksanaan dasar-dasar pembangunan negara. Oleh itu, sokongan padu dan kerjasama yang erat di kalangan semua pihak sama ada pihak kerajaan, sektor swasta dan sektor isirumah akan menjadi pemangkin kepada kejayaan mencapai matlamat Wawasan 2020 tersebut. Tambahan lagi, persekitaran global yang tidak menentu dewasa kini khususnya dalam bidang ekonomi dan politik sudah pasti memberikan cabaran berganda kepada negara dalam usaha merealisasikan impian tersebut. Justeru, dalam hal ini, pengurusan dan perlaksanaan dasar awam yang efektif dan pragmatik di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan adalah pra syarat kepada kejayaan negara untuk mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi mengikut acuan sendiri.

Usaha ke arah merealisasikan Wawasan 2020 tersebut telah mendorong pihak kerajaan memperkenalkan Model Ekonomi Baru (NEM) yang mana seterusnya menjadi pencetus kepada pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada Januari 2010, dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada Mac 2010. Secara umumnya, program transformasi ini dirangka bagi melaksana,  memantau dan mengubahsuai  pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi, di samping mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan agar selari dengan citra kerajaan dan berjalan seperti yang dirancang.  Program transformasi yang dijalankan turut menyediakan iklim ekonomi yang kondusif dan menarik untuk menjadikan negara sebagai destinasi pilihan pelaburan asing dan pada masa yang sama dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang produktif, kompetitif, kreatif dan inovatif.

Dalam Program Transformasi Kerajaan, sebanyak enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah digariskan iaitu mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan bermutu dan termampu, meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, dan menambah baik pengangkutan awam bandar. Di samping itu, dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP)  sebanyak 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dan 131 Projek Penggerak Ekonomi (EPP) telah dikenal pasti. Antara 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang telah dikenal pasti ialah sektor minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektronik dan elektrik, pemborongan dan runcit, pendidikan, penjagaan kesihatan, kandungan dan infrastruktur komunikasi, pertanian, dan Greater Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, kejayaan kerajaan untuk mengurus dan melaksanakan program transformasi tersebut amat bergantung kepada inisiatif kerajaan dalam mengoptimumkan penggunaan sumber fizikal dan sumber kewangan yang sedia ada. Maka, salah satu cabaran yang getir adalah untuk meningkatkan produktiviti pekerja dalam sektor perkhidmatan awam, di samping mengurus belanjawan secara berhemat agar tidak berlaku sebarang pembaziran. Selain itu, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga penting untuk bersama-sama berganding bahu bagi melaksanakan program transformasi tersebut.

Sebagai sebuah negara terbuka yang bersaiz kecil, kedudukan ekonomi negara juga mudah terdedah kepada kejutan luaran, misalnya kejutan kewangan global di US dan Zon Euro (misalnya, krisis sub prima), peningkatan harga komoditi antarabangsa (misalnya, kejutan harga minyak dan harga makanan), dan suasana politik antarabangsa. Prospek pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu daripada negara maju tersebut sudah tentu memberikan tempias kepada Malaysia khususnya daripada aspek pertumbuhan ekonomi dan aliran modal dalam jangka panjang. Di samping itu, persaingan yang hebat daripada negara BRICS (Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan) khususnya dalam menarik minat pelaburan langsung asing (FDI) ke negara mereka juga memberikan cabaran kepada dasar galakan pelaburan negara. Maka, dalam hal ini, penggubalan dan pelaksanaan dasar pelaburan langsung asing yang mesra pelabur adalah wajar dilakukan khususnya dengan menyediakan institusi yang berkualiti daripada aspek halangan birokrasi yang rendah, kestabilan kerajaan, kadar rasuah yang rendah, profil pelaburan yang berdaya saing, dan sistem perundangan yang telus.


Fokus Seminar

Untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi, kerajaan telah mengubah pendekatan pembangunan ekonomi daripada pendekatan lama kepada pendekatan baru. Dalam pendekatan baru tersebut, antara strategi utama yang digariskan ialah pertumbuhan melalui produktiviti, pertumbuhan diterajui oleh sektor swasta, melokalisasikan autonomi dalam pembuatan keputusan, aktiviti ekonomi yang berasaskan koridor dan pengelompokan industri, mengukuhkan teknologi industri dan firma, berorientasikan Asia dan Asia Tengah (Middle East), dan mengekal dan menggalakkan tenaga kerja yang profesional. Maka, untuk menjayakan strategi pembangunan yang baru tersebut, sudah tentulah memerlukan pengurusan dan perlaksanaan dasar awam yang efisien dan pragmatik, khususnya daripada sektor perkhidmatan awam baik di peringkat persekutuan, kerajaan negeri, atau kerajaan tempatan.

Maka, persidangan ini bertujuan untuk menjadi platform perbincangan pelbagai aspek yang menjadi fokus kerajaan ke arah menuju negara maju, khususnya dalam konteks memantapkan pengurusan dan pelaksanaan dasar awam negara. Di samping itu, persidangan ini juga menjadi pencetus idea baru kepada pihak kerajaan khususnya untuk mengukuhkan lagi keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar awam di semua peringkat kerajaan.

sambungan=> Sub Tema

 

Laman Utama| Tarikh Penting | Pendaftaran | Kertas Kerja | Hubungi Kami