PENGENALAN TENTANG SPIRITUALITI

Spiritualiti adalah aspek dalaman manusia yang tidak dapat diungkap oleh pancaindera manusia. Spiritualiti berasal dari kata bahasa Latin 'spiritus' yang bererti nafas (breath) dan kata kerja spirare yang membawa maksud bernafas. Berdasarkan kata asal perkataan ini adalah hidup untuk bernafas, dan keadaan ini menunjukkan manusia memiliki nafas ertinya memiliki spirit atau roh. Spiritualiti atau juga disebut sebagai kerohanian boleh diperolehi dalam kehidupan dengan menyepadukan elemen kesucian dan kekudusan hati. Unsur spiritualiti mempunyai kaitan dengan hati dan akal yang mampu dipulihkan dengan mendekati diri kepada Tuhan. Kesihatan spiritual merupakan sebahagian daripada agama dan ia hanya boleh ditunjukkan melalui perantaraan agama. Dari perspektif Islam, tuntutan spiritual atau kerohanian adalah kepada penghambaan yang murni terhadap Maha Pencipta iaitu Allah SWT dengan mengingatiNya melalui ibadah solat, zakat, puasa, menuntut ilmu dan lain-lain lagi.

KAJIAN TENTANG SPIRITUALITI

Kajian Dewi Ainul Mardliyah (2016) berkaitan terapi psikospiritual dalam kajian sufistik mendapati ilmu ini seperti psikoterapi yang memiliki tujuan untuk menghilangkan sifat-sifat neurotik dan membantu seseorang untuk menyesuaikan diri terhadap masyarakat. Kajian oleh Khairul Hamimah et al (2014) mendapati pentingnya menggabungkan elemen agama dan kesihatan psikospiritual dalam pembentukan modul yang digunakan oleh responden di pusat pemulihan.

Kaedah terapi psikospiritual cuba diperkenalkan sebagai salah satu kaedah rawatan dan diintegrasikan ke atas rawatan dan pemulihan dadah berasaskan agama Islam yang telah pun diamalkan oleh beberapa pusat rawatan dan pemulihan dadah di Malaysia yang menekankan kepada aspek mengukuhkan kefahaman dan penghayatan asas-asas ibadah serta penerapan nilai murni berasaskan pengajaran Islam. Kaedah terapi psikospiritual ini digabungkan kerana data menunjukkan bahawa klien yang menerima rawatan brasaskan pengukuhan asas dan nilai agama sahaja dikesan dengan mudah mengulang perlakuan tersebut (relapse) apabila mereka telah bebas dari pusat rawatan tersebut dan kembali ke dalam masyarakat (Mohd Rushdan, 2015).

Dapatan kajian yang telah dijalankan oleh pihak KKM (2015) ini menunjukkan bahawa permasalahan mental ini adalah berpunca kebanyakannya daripada unsur dalaman. Oleh kerana tekanan adalah berbentuk spiritual (dalaman) dan bukan fizikal, maka konteks yang perlu diberikan perhatian ialah aspek spiritual. Bertolak dari situ, maka sudah pasti unsur dalaman merupakan unsur paling utama yang perlu dititikberatkan serta mendapat perhatian yang sewajarnya seperti penjagaan hati manusia.

FAEDAH PENJAGAAN SPIRITUAL

Aspek spiritual perlu dijaga sebagaimana penekanan penjagaan yang diberikan kepada aspek fizikal. Kajian terkini juga menunjukkan bahawa penjagaan spiritual itu amat perlu dititikberatkan oleh masyarakat kerana banyak masalah yang berlaku adalah kesan dari tekanan (gangguan spiritual) yang dialami oleh individu. Kesan dari pengabaian dari aspek spiritual telah menyebabkan wujudnya berbagai masalah sosial dan mental dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia. Penerapan nilai keagamaan terbukti mampu merawat kesihatan dalaman manusia.

FAEDAH PENJAGAAN SPIRITUAL

  • Solat dengan penuh rasa kehambaan.
  • Membaca al-Quran dengan rasa ingin mengetahui kandungannya.
  • Berzakat atau bersedekah untuk buang nilai kikir dan berkira-kira dalam diri.
  • Berzikir untuk memuji dan mengucap terima kasih kepada Pemberi rezeki.
  • Doa dengan penuh keyakinan.
  • Melihat dan merenung alam ciptaan Maha Kuasa
  • Senyum
  • Tarik nafas dalam dan penjam mata. Kemudian lepaskan nafas dengan sebut nama Allah.

TIPS UNTUK MENINGKATKAN KEROHANIAN DALAM DIRI

  • Mulakan semua aktiviti dengan niat yang baik dan bacaan Bismillah.
  • Sentiasa senyum pada sesiapa sahaja yang ditemui
  • Mulakan perjalanan anda dengan bacaan doa perjalanan, doa tinggalkan rumah dan doa supaya Allah menjaga semua harta yang ditinggalkan.
  • Memberi salam kepada sesiapa yang ditemui di perjalanan anda