452 Pelajar IPT dihantar Pulang ke Kampung Melalui OPS Hantar Pelajar Pulang Fasa 6


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 8 Mei 2020 – Seramai 452 pelajar dari beberapa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang tinggal di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing melalui OPS Hantar Pelajar Pulang Fasa 6, semalam.

Penghantaran pelajar itu adalah dari Zon Tengah ke Zon Selatan dan Zon Tengah ke Zon Utara 2. Sebanyak 37 buah bas telah digunakan bagi menghantar pelajar-pelajar tersebut, dan pergerakan mereka adalah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Nik Yasmin Umaira Hasnizan, pelajar Fakulti Sains dan Teknologi berkata dia teruja kerana dapat pulang ke kampung selepas terkandas di kampus sepanjang PKP dilaksanakan.

“Saya gembira dan bersyukur kerana saya dapat menjalani ibadah puasa bersama ahli keluarga dan tidak berasa sunyi lagi,” katanya.

Katanya, proses penghantaran pelajar pulang ke kampung dilakukan mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Kami turut diberi makanan dan minuman serta kebajikan pelajar juga dijaga dengan baik. Pihak pengurusan universiti mengutamakan aspek keselamatan pelajar sepanjang proses penghantaran pulang semalam,” katanya.

Nik Yasmin Umaira berkata dari segi pembelajaran atas talian, dia telah bersedia dengan menyemak jadual kelas online serta memastikan capaian nternet berada dalam keadaan yang baik.

Sementara itu, Khor Kai Qing dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat berkata dia juga gembira kerana dapat bersama keluarga semula.

“Saya akan memanfaatkan sepenuhnya masa bersama keluarga selain dari sentiasa menyemak e-mel siswa dan ukmfolio untuk kelas online,” katanya.

Kepulangan kumpulan pelajar-pelajar ini dilakukan dengan SOP yang telah ditetapkan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.