Kanser Pangkal Rahim Boleh Dirawat


Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 6 Julai 2020 – Kanser pangkal rahim atau kanser serviks adalah kanser yang boleh disaring dengan menggunakan kaedah saringan yang mudah dan ia dapat mengurangkan kadar kematian dalam kalangan wanita.

Profesor dan Pakar Perunding Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohamad Nasir berkata, kaedah saringan kanser itu adalah mudah, murah, selamat, berkesan dan menjimatkan kos jika dapat mencegah dari awal malah pesakit tidak perlu menggunakan duit yang banyak untuk rawatan.

“Tetapi malangnya di Malaysia tahap untuk saringan ini masih rendah. Untuk 100 wanita, mungkin 40 orang sahaja yang buat saringan. Kita target at least 80 peratus dalam kalangan wanita yang layak disaring membuat pap smear kerana ia dapat mengurangkan risiko kanser serviks dan mengurangkan kadar kematian,” katanya.

Beliau memberitahu, kanser serviks adalah kanser yang ketiga tertinggi di Malaysia, dengan data dan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kira-kira 2,000 hingga 3,000 kemasukan pesakit ke hospital adalah disebabkan oleh kanser serviks setiap tahun.

“Data terbaru tahun 2018 menunjukkan sejumlah 944 kematian yang disebabkan oleh kanser serviks telah dicatatkan. Penyebab utama kanser ini adalah disebabkan oleh virus human papilloma virus (HPV), iaitu 90 peratus kanser serviks ini disebabkan oleh virus HPV,” katanya.

Katanya, pesakit yang mempunyai daya tahan badan yang lemah seperti HIV, AIDS, sakit buah pinggang, dan sebagainya juga berisiko untuk mendapat jangkitan kuman tersebut, seterusnya berisiko untuk mengalami kanser pangkal rahim.

“Mereka yang mengadakan hubungan pada usia remaja, kurang dari umur 18 tahun dan mereka yang mempunyai ramai pasangan juga mempunyai risiko tinggi untuk mendapat kanser ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahan melalui program Web Seminar Umum, Program Memasyarakatkan Kesihatan Rakyat Siri 4/2020 dengan tajuk Virus Human Papilloma Virus Penyebab Barah Pangkal Rahim.

Prof Dr Mohamad Nasir berkata, ada sesetengah kajian menunjukkan bahawa penggunaan ubat-ubat hormon atau pil perancang yang berpanjangan turut berkemungkinan untuk membawa seseorang wanita itu kepada kanser.

“Walau bagaimanapun, asiosasi anggaran hormon dan kanser ini adalah sangat lemah. Mungkin juga disebabkan oleh sikap pengguna itu sendiri yang melakukan hubungan seksual rambang dan sebagainya, boleh menyebabkan peningkatan risiko kanser.

“Selain itu, merokok bukan hanya boleh menyebabkan pelbagai kanser lain seperti kanser paru-paru, tetapi ia juga boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser serviks sebanyak dua kali ganda,” terangnya.

Katanya, selain dari kanser serviks, HPV juga turut melibatkan kanser-kanser lain seperti vagina, kanser penis (lelaki), kanser dubur, kanser oropharyngeal di bahagian mulut terutamanya bagi mereka yang mengamalkan aktiviti seksual yang berlainan, dan juga ketuat-ketuat yang berlaku di bahagian kelamin.