UKM Antara Dua Universiti Miliki Koleksi Karya Seni dan Lukisan


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 2 April 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah antara dua universiti di negara ini yang mempunyai simpanan koleksi karya seni dan lukisan yang tersendiri selain Universiti Malaya.

Semua koleksi itu iaitu kira-kira 51 karya seni telah disimpan dan dipamerkan di Muzium Warisan Akademik UKM.

Justeru, bagi memperkenalkan karya seni yang ada di UKM, Muzium Warisan Akademik telah menganjurkan pameran koleksi lukisan untuk dipamerkan kepada masyarakat umum. Hasil karya tersebut adalah hasil tangan warga UKM, pelajar dan jemputan luar.

Antara bentuk lukisan yang dipamerkan ialah lukisan cat, lukisan air, arca, seni khat dan pelbagai lagi yang bercorakkan keindahan alam, pemandangan, bunga-bungaan, potret dan sebagainya.

Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor berkata, salah satu tanggungjawab UKM dalam meningkatkan pembangunan negara adalah melibatkan diri dalam membangunkan usaha menyimpan warisan dan khazanah negara yang juga selaras dengan aspirasi penubuhan UKM sebagai universiti kebangsaan.

“Saya percaya bukan semua orang boleh melukis dan menvisualkan apa yang difikirkan dalam fikiran.

“Saya berharap pameran ini dapat mengangkat UKM sebagai universiti yang berperanan mendaulatkan seni dan warisan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Muzium Warisan Akademik, Prof Madya Dr Mohd Samsudin menyifatkan pameran koleksi tersebut adalah satu usaha untuk mengumpulkan semula lukisan dan arca seni selain memupuk kesedaran masyarakat tentang menjiwai nilai seni.

“Penilaian yang dibuat terhadap koleksi lukisan di dalam dewan ini bernilai tinggi. Terdapat arca lukisan yang dipamerkan bernilai sekitar RM2 juta,” katanya.

Koleksi karya tersebut adalah sumbangan individu dan dibeli serta dihasilkan di antara tahun 1975 hingga tahun 2015 oleh pelukis-pelukis terkenal tanah air.

Sebanyak 22 koleksi lukisan dipamerkan di Persada, Canselori UKM selama tiga hari bermula 2 April dan terbuka kepada umum.