Latar Belakang
Nic PLW diwujudkan pada tahun 2007 untuk melaksanakan penyelidikan berkumpulan berasaskan pendekatan terintegrasi dan syumul merentasi berbagai disiplin ilmu demi pembangunan ekonomi, sosial, dan alam sekitar yang berhemah, beretika dan penuh tanggungjawab; serta menyalurkan ilmu dari penyelidikan tersebut kepada masyrakat dan kerajaan serta pihak swasta untuk meningkatkan tahap kesejahteraan. Nic PLW merupakan suatu pelantar yang menyediakan peluang untuk membina pasukan penyelidik yang meneliti secara menyeluruh dari perspektif beraneka disiplin dengan melibatkan pelbagai metodologi dan pihak berkepentingan dari berbagai sektor dan latar belakang untuk mencari ilmu dan cara terbaik sebagai langkah penyelesaian kepada pelbagai jenis masalah pembangunan di wilayah tertentu, sama ada di dalam mahupun luar negara.
Sebahagian agenda ahli kumpulan Nic PLW adalah untuk mengurangkan atau membasmi kemiskinan melalui rangka kerja pembangunan lestari. Ia merangkumi aspek penelitian kritikal ke atas hubungkait kemiskinan dan alam sekitar, serta keusahawanan melalui aktiviti sosio-ekonomi yang mesra alam atau hijau. Nic PLW juga terdiri daripada kumpulan yang beriltizam memajukan pendekatan berinovatif dalam aplikasi strategi kelestarian di pusat bandar dan luar bandar demi mencapai kemakmuran untuk semua golongan. Kumpulan ekosistem pula menyokong ahli lain dalam Nic PLW dengan menyelidik aspek pemuliharaan, pendidikan demi pembangunan lestari, pemulihan, kesedaran, pencegahan, perancangan, dan pemantauan serta rekabentuk lestari yang menggunakan tenaga dan sumber seperti air dan tanah dengan efisyen dan penuh ketelusan.
Ahli penyelidik berkumpulan di nic PLW juga meneliti aspek pengurusan dan governans serta antara muka sains dengan polisi dalam sfera sekitaran, sosial dan ekonomi melalui proses yang mengurangkan kesan jejak ekologi, air dan karbon berdasarkan konsep dan prinsip pembangunan neutral. Juga menggunakan pendekatan yang menghubungkan data dan informasi serta amalan baik ekonomi, sosial, alam sekitar, dan sebagainya secara perkongsian pintar. Nic PLW juga membantu kerajaan sesebuah negara dan kawasan serantau dalam pelbagai aspek negosiasi dan rundingan pelbagai hala seperti dalam aspek pengurusan bahan kimia dan berbahaya, warisan dan budaya; kampus lestari dan sekolah / bandar lestari; serta membantu pelbagai pihak termasuk kerajaan dalam memaknakan dan menterjemahkan polisi dan rangkakerja menjadi program dan projek yang berkesan.
Rakan kolaborasi nic PLW juga terdiri daripada para penyelidik berkaliber dari luar UKM dan luar Malaysia termasuk dari beberapa pelusuk utama dunia sama ada yang maju atau yang sedang membangun termasuk agensi antarabangsa.