Perutusan Presiden

 

 

Yang Dihormati Semua Ahli PSUKM,

Marilah kita bersama-sama merafak setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, yang telah mengurniakan kudrat untuk kita terus menyumbang bakti kepada UKM dan bersama-sama berada dalam PSUKM yang kini telah pun berusia 21 tahun. Alhamdulillah.

Bermula dari penubuhannya pada tahun 2002 hingga ke arus kepimpinannya yang mutakhir, PSUKM telah berjaya memenuhi aspirasi dan matlamat penubuhannya. Malah lebih daripada itu, PSUKM mampu memberikan lebih pengisian bukan sahaja secara ilmiah tetapi juga aktitiviti sosial secara inklusif untuk semua ahlinya , tidak mengira latar belakang apa sekalipun.

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak sampai melayang. Apa yang kita kecapi hari ini merupakan hasil perancangan rapi dan gerak kerja semua pihak daripada pucuk pimpinan UKM, MPP serta yang paling penting sokongan dan penglibatan ahli-ahli PSUKM. Dengan hasil keringat dan pendekatan kita, hari ini PSUKM kian menampakkan keberhasilan perjuangannya. Ucapan terima kasih, penghargaan dan rasa hormat saya buat semua mantan Presiden, atas rekod khidmat cemerlang sepanjang menyandang serta memimpin persatuan kita ini ke tahap yang membanggakan kini.

Pada dasar landasan kesinambungan, MPP baru telah dilantik pada 9 September 2021. Saranan saya selaku Presiden baru, seiring dengan Naratif Baharu UKM: Universiti Watan Kita, kita harus mengekalkan keseimbangan dan sama-sama meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri di bawah Lembayung T.E.R.A.S dan bitara yang diketengahkan oleh YBhg. Dato Naib Canselor UKM.  Ia perlu difahami dan dihayati serta diterapkan dalam aspek kecemerlangan agar kita sentiasa berusaha untuk menerapkan budaya berprestasi tinggi dalam setiap tugas yang dilaksanakan bagi memastikan kejayaan dan kecemerlangan berterusan.

Seiring dengan hasrat UKM yang mahukan UKM terus relevan, dirujuk dan dihormati kewibawaannya, begitu juga refleksi nya  kepada PSUKM. Untuk tempoh dua (2) tahun kepimpinan ini, PSUKM akan menyasarkan aktiviti yang lebih baik dan memberi impak bukan sahaja kepada ahli tetapi juga kepada masyarakat setempat. Marilah kita menyahut cabaran merubah kelaziman secara sistematik dengan daya inovasi dan kreativiti yang tinggi.

Bersama-sama kita berdoa agar PSUKM terus cemerlang dan dapat memberi manafaat kepada semua serta sentiasa dalam keberkatan Allah SWT. In sha Allah. Semoga kecemerlangan kita sebagai sebuah keluarga Malaysia yang besar dapat diteruskan agar universiti watan ini sentiasa keterhadapan.

Saya akhiri ucapan saya dengan memetik ungkapan kata-kata Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj ketika sambutan Hari Malaysia pada 16 September 1963, iaitu:

“Marilah kita bersumpah pada hari dan saat yang gilang gemilang ini dengan nama Allah Yang Maha Kuasa demi sesungguhnya kita akan mempertahankan bendera bangsa dan negara kita sekalipun dengan jiwa dan darah kita.”

Semoga kata-kata keramat ini akan sentiasa menyalakan semangat kita, warga Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan Negara, menghayati erti sebuah kemerdekaan dan mempertahankan perpaduan serta jati diri bangsa Malaysia buat selama-lamanya.

Laksa Penang berbunga kantan

Mekar Berbunga di dalam taman,

UKM Gah Universiti Watan,

Lembayung TERAS menjadi pedoman

Sekian, terima kasih.

ILYA EZIANE MOHD NOOR

Presiden PSUKM sesi 2021-2023