Portal Penyelidikan Cuaca Angkasa UKM

Glosari

Angin suria : Aliran berterusan plasma solar dan medan magnet yang berpunca dari Matahari. Angin suria dihasilkan terutamanya di kawasan sejuk korona pada Matahari, Biasanya, halaju angin suria adalah dalam lingkungan 300 – 500 km sesaat.

Angstrom (A) : Unit bagi panjang yang berskala kecil, selalunya digunakan untuk mengukur panjang gelombang radiasi elektromagnetik. Satu Angstrom bersamaan dengan 10-10 meter.

Aurora : Cahaya semulajadi berwarna-warni di langit, yang sering terbentuk terutamanya di sekitar kutub magnet Bumi (Utara dan Selatan) dan kadang-kadang menghala ke arah equator Bumi. Aurora ini biasanya disebabkan oleh interaksi di antara plasma di magnetosfera Bumi yang berlanggar dengan gas-gas terion dalam ionosfera.

Cuaca angkasa : Perubahan keadaan alam sekitar di ruang berhampiran Bumi atau ruang dari atmosfera Matahari hingga atmosfera Bumi yang disebabkan oleh letusan tenaga dari Matahari yang bergerak dan menghentam atmosfera Bumi dan memberi kesan pada hidupan juga teknologi.

Frekuensi : Jumlah kitaran atau putaran sesuatu gelombang sesaat.

Frekuensi sangat rendah (VLF) : Sebahagian daripada spektrum frekuensi radio yang bermula dari 3 KHz hingga 30 KHz.

Gangguan ionosfera mendadak (SID) : Keadaan ketumpatan plasma yang tinggi di dalam ionosfera Bumi yang disebabkan oleh kehadiran suar matahari. SID selalunya memberi kesan pada perambatan gelombang radio dan mengganggu sistem telekomunikasi.

Geomagnetik : Medan magnet yang terdapat di sekeliling Bumi dari kutub Utara ke kutub Selatan.

GOES : Singkatan dari Geostationary Operational Environmental Satellites yang mengelilingi Bumi dalam orbit geosegerak yang terletak kira-kira 35 800 km di atas Bumi. GOES berfungsi untuk memantau aktiviti matahari seperti suar matahari serta memantau keadaan atmosfera yang menyebabkan kejadian alam seperti tornado, banjir dan juga ribut taufan.

Ionosfera : Lapisan atas atmosfera bumi yang terletak di Antara 60 km hingga mencapai 1000 km dari permukaan Bumi. I terdiri daripada lapisan-lapisan yang berbeza ketumpatan gas yang telah terion oleh radiasi ultra violet daripada Matahari dan mempengaruhi perambatan isyarat radio.

Kawasan aktif : Kawasan pada permukaan Matahari dimana terdapatnya medan magnet yang aktif dan kuat dalam konfigurasi yang kompleks dan sering dikaitkan dengan tompok matahari, suar, CME dan lain-lain fenomena suria.

Kelas suar : Skala kuasa yang digunakan untuk mengklasifikasi kuasa suar matahari. Skala kelas suar ditentukan berdasarkan pada kecerahan sinar-X suar yang terhasil. Ia diukur dalam julat panjang gelombang diantara 1 hingga 8 Angstrom.

Kitar suria : Tempoh kitaran aktif Matahari iaitu yang diambil sejak beberapa abad yang lalu. Kebiasaannya adalah dalam tempoh setiap 11 tahun.

Semburan Jisim Korona (CME) : Letusan plasma panas dan medan magnet dari Matahari ke ruang angkasa yang mengandungi berbillion-billion tan bahan (kebanyakkannya nukleus hidrogen dan elektron) yang bergerak pada kelajuan sehinnga 1200 km sesaat. CME berlaku pada skala masa antara beberapa minit dan beberapa jam dan boleh menyebabkan ribut magnet terjadi apabila ia sampai ke Bumi.

Magnetosfera : Kawasan di sekeliling Bumi yang terbentuk akibat daripada kesan medan magnet bumi.

Medan elektromagnetik : Kombinasi diantara medan magnet dan elektrik yang berayun yang bergerak dengan kelajuan lebih kurang 300000 km sesaat. Gelombang ini merangkumi semua jenis sinar seperti sinar-X, sinar gamma, sinar infra merah, sinar UV, sinar boleh nampak, termasuklah gelombang mikro dan gelombang radio.

Panjang gelombang : Jarak dimana sesuatu gelombang membuat satu putaran lengkap. Dalam sebuah gelombang sinus, panjang gelombang adalah jarak antara puncak.

Pengionan : Proses dimana atom neutral menjadi ion yang disebabkan oleh samaada perlanggaran dengan partikel-partikel berkelajuan tinggi ataupun penyerapan cahaya.

Plasma : Gas yang mengandungi ion bebas dan elektron dan mampu mengalirkan arus elektrik dan sangat dipengaruhi oleh medan magnet.

Ribut geomagnetik : Gangguan pada medan magnet bumi yang disebabkan oleh hentaman CME dan boleh menyebabkan kerosakan pada sistem grid kuasa dan juga talian paip minyak.

Sinar gamma : Gelombang elektromagnetik yang mempunyai panjang gelombang yang paling pendek dan berfrekuensi paling tinggi serta merupakan gelombang paling bertenaga dalam spektrum elektromagnetik.

Sinar-X : Sejenis radiasi elektromagnetik yang bertenaga tinggi, mempunyai panjang gelombang yang lebih pendek dari sinar UV tetapi lebih panjang dari sinar gamma iaitu lebih kurang 10-10 meter.

Suar : Letusan tenaga dari kawasan aktif pada permukaan Matahari yang melepaskan radiasi selalunya dalam bentuk sinar-X serta zarah-zarah bercas yang berkelajuan tinggi.

Tompok matahari : Kawasan tompokan yang kelihatan gelap pada fotosfera Matahari disebabkan oleh kehadiran medan magnet yang kuat yang muncul dari dalam Matahari. Tompok matahari biasanya mempunyai suhu sekitar 3000 – 4000 Celsius, berbanding dengan suhu purata fotosfera iaitu 6000 Celsius. Ia lebih sejuk dari kawasan sekitar kerana medan magnet mengganggu pengaliran keluar haba solar di kawasan tersebut.

Ultra lembayung (UV) : Radiasi elektromagnetik yang mempunyai panjang gelombang yang lebih pendek dari sinar boleh Nampak tetapi lebih panjang dari sinar-X.

Sinar kosmik : Radiasi dari partikel ion bertenaga tinggi yang berasal dari luar atmosfera Bumi. Kebanyakkan partikel-partikel tersebut berasal dari proses letupan kosmik yang sangat besar seperti supernova.