Seperti kita ketahui, bumi mempunyai kutub utara dan selatan di setiap hujun paksi putarannya, dan antara kedua kutub ini terdapatnya medan magnetik yang mengalir dari kutub utara ke selatan. Medan magnetik bumi ini membentuk satu lapisan yang dinamakan magnetosfera. Kejadian medan magnetik ini dikaitkan dengan pergerakan lahar panas yang pekat di dalam bumi dan putaran bumi pada paksinya.
Rajah 1 : Kejadian medan magnetik bumi atau magnetosfera. (sumber: NASA)
Dalam kajian cuaca angkasa, magnetosfera memainkan peranan penting untuk melindungi bumi dari bahaya ancaman aktiviti matahari. Ini kerana ribut suria yang membawa plasma dan pertikel merbahaya berkelajuan tinggi sentiasa merambat ke luar ruang angkasa dan akan menghentam apa jua objek di dalam laluannya. Hidupan di bumi yang terdedah kepada ribut suria berisiko mendapat bahaya mutasi genetik atau kebakaran kulit. Namun hidupan di bumi terlindung dari ancaman ini melalui kewujudan lapisan magnetosfera bumi. Ribut suria ini akan menghentam lapisan magnetosfera bumi dan akan terpesong ke haluan lain.
Rajah 2: Bagaimana lapisan magnetosfera melindungi bumi dari bahaya matahari. (sumber: NASA)
Sebahagian daripada plasma pada ribut suria ini akan terperangkap dalam lapisan magnetosfera dan mengikut laluan medan magnetik bumi ke arah kutub utara dan selatan. Plasma tersebut akan berlanggar dengan molekul nitrogen dan oksigen dalam ruang atmosfera bumi lalu menghasilkan cahaya hijau kebiruan yang dikenali sebagai aurora.
Rajah 3: Fenomena aurora yang dapat dilihat berhapiran kutub utara atau selatan bumi. Kejadian fenomena aurora dikaitkan dengan kehadiran ribut suria. (sumber: NASA)