Portal Penyelidikan Cuaca Angkasa UKM

Suar Matahari dan Lentingan Jisim Korona

Matahari mempengaruhi Bumi melalui dua mekanisma. Yang pertama ialah letusan tenaga yang menghasilkan satu suar. Mekanisma kedua ialah melalui hentaman jirim dari Matahari.

Suar matahari adalah ledakan besar dari matahari yang berlaku di kawasan aktif matahari apabila tenaga magnetik yang telah terkumpul pada ruang atmosfera matahari dilepaskan secara tiba-tiba. Tenaga magnetik yang dilepaskan memanaskan dan memecutkan zarah-zarah seperti elektron dan proton ke ruang atmosfera matahari. Sinar yang dihasilkan oleh suar matahari meliputi pelbagai jarak gelombang (pada spektrum elektromagnetik), selalunya dalam bentuk sinar-X atau tenaga Ultra Lembayung Ekstrem (Extreme Ultra Violet, EUV). Sinar-X dan sinar EUV ini merambat pada kelajuan cahaya dan mengambil masa lebih kurang 8 minit untuk sampai ke Bumi.

Sinar-X dan sinaran ultraungu (UV) yang dipancarkan oleh suar suria mampu mempengaruhi lapisan ionosfera bumi dan mengganggu komunikasi radio jarak jauh. Rajah 1 menunjukkan gambar kejadian suar matahari yang diambil melalui penapis gambar khas, menyebabkan matahari kelihatan warna hijau.

Image converted using ifftoany
Rajah 1 : Kejadian suar matahari berlaku (sumber : NASA)

Letusan tenaga yang kuat menghasilkan suar matahari yang memancarkan sinar-X yang berkeamatan tingggi, dan ia juga mampu menghasilkan ‘lentingan jisim korona‘ (coronal mass ejection, CME). CME adalah gumpalan plasma iaitu jirim dalam keadaan di mana elektron telah dipisahkan dari nukleus atom. CME merentasi ruang angkasa dalam bentuk jirim yang memecut dengan kelajuan lebih kurang 2 juta kilometer sejam dan mampu sampai ke bumi dalam masa 3 hari. CME juga mempengaruhi lapisan atmosfera Bumi terutamanya magnestosfera.

CME - nasaRajah 2 : Kejadian CME, gambar diambil melalui satelit GOES (sumber : NASA)

 

Pengelasan Suar

Suar matahari digolongkan dalam kelas A, B, C, M atau X mengikut fluks puncak (dalam watt per meter persegi, W/m2) sinar-X pada panjang gelombang berjarak antara 1 sehingga 8 Angstrom(0.1-0.8 nm). Ianya dikesan dan diukur oleh satelit bernama ‘GOES’ yang memantau aktiviti matahari. Setiap kelas ada fluks puncak yang sepuluh kali lebih hebat daripada kelas sebelumnya.

Jadual di bawah menunjukkan kelas suar mengikut keamatan sinar-X:

Kelas suar matahari Keamatan (Watts / m²)
B I < 10-6
C 10-6 < = I < 10-5
M 10-5 < = I < 10-4
X I > = 10-4

Sumber : SWPC, NOAA