Pelaburan Pusat Data di Malaysia: Peluang, Cabaran dan Masa Depan

Pengenalan

Malaysia kini sedang menyaksikan peningkatan pesat pelaburan dalam sektor pusat data (data center), dengan pelaburan daripada syarikat teknologi global seperti ByteDance, Google, Microsoft, dan AWS. Pelaburan ini selari dengan inisiatif kerajaan Malaysia seperti MyDIGITAL yang bertujuan menjadikan negara sebagai hab digital di rantau Asia Tenggara.

Antara pelaburan terbesar yang diumumkan ialah oleh ByteDance, pemilik TikTok yang merancang melabur sekitar RM10 bilion untuk menjadikan Malaysia hab kecerdasan buatan (AI) serantau. Syarikat itu juga sedang mengembangkan fasiliti pusat data mereka di Sedenak Tech Park, Johor, dengan pelaburan tambahan RM1.5 bilion. Selain itu, Google merancang pelaburan bernilai RM9.4 bilion untuk pusat data pertama mereka di Malaysia, yang juga akan menyokong pembangunan Wilayah Awan Google, memenuhi permintaan perkhidmatan awan yang semakin meningkat.

Peluang Pekerjaan

Pertumbuhan pesat pusat data ini menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, terutamanya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. Pekerjaan seperti jurutera rangkaian, pentadbir sistem dan pakar keselamatan siber semakin dicari. Pelaburan Google dijangka akan mewujudkan lebih 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030, manakala pelaburan Microsoft turut memberi peluang kepada 200,000 rakyat Malaysia melalui latihan kemahiran digital. Ini menunjukkan betapa pentingnya pembangunan bakat tempatan bagi menyokong permintaan industri pusat data yang berkembang pesat.

Cabaran dan Tanggungjawab Universiti

Meskipun peluang pekerjaan kian bertambah, terdapat cabaran besar untuk memastikan Malaysia memiliki tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang pusat data. Oleh itu, universiti di Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyediakan graduan yang bersedia untuk industri ini. Kolaborasi antara universiti dan industri boleh menjadi kunci utama dalam menyediakan program latihan praktikal, kursus teknologi maklumat dan pensijilan seperti AWS Certification untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang pengkomputeran awan.

Sebagai contoh, institusi pengajian tinggi boleh bekerjasama dengan syarikat teknologi gergasi untuk menawarkan program latihan dan peluang latihan industri internship dalam bidang seperti AI, analisis data dan keselamatan siber. Di samping itu, kursus yang fokus kepada automasi, pengurusan rangkaian dan sistem pengurusan pusat data perlu diperkenalkan untuk memastikan graduan dapat memenuhi keperluan industri pusat data yang kian berkembang.

Universiti juga boleh memanfaatkan platform seperti Cyberview Living Lab Accelerator di Cyberjaya. Mereka dapat mendorong inovasi dan membangunkan bakat teknologi melalui kerjasama rapat dengan industri. Dengan usaha ini, Malaysia boleh mempercepatkan penghasilan bakat yang diperlukan untuk memacu ekonomi digital negara.

Cabaran dalam Infrastruktur

Walaupun banyak peluang telah diterokai, terdapat juga cabaran yang perlu diatasi. Antaranya ialah penggunaan sumber tenaga elektrik dan penggunaan air yang tinggi oleh pusat data. Data menunjukkan permintaan kuasa dari pusat data dijangka meningkat sebanyak 160% menjelang tahun 2030. Berikutan itu, terdapat keperluan mendesak untuk pusat data mengadaptasi teknologi yang lebih mesra alam seperti tenaga solar dan penyejukan berasaskan air laut. Justeru, kerajaan perlu memperkenalkan dasar yang mendorong penggunaan teknologi hijau bagi memastikan pertumbuhan pusat data tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

Menyokong Malaysia Madani

Secara keseluruhannya, perkembangan pesat sektor pusat data di Malaysia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan yang luas, malah dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital serantau. Namun, untuk memastikan kelestarian dan kejayaan jangka panjang, pendekatan holistik yang melibatkan semua pihak seperti kerajaan, industri, universiti dan masyarakat perlu dilaksanakan.

Inisiatif Malaysia Madani yang mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, boleh dijadikan panduan dalam memastikan pertumbuhan sektor pusat data ini sejajar dengan matlamat negara. Pelaburan dalam teknologi hijau dan pembangunan bakat tempatan perlu diberi keutamaan bagi menyokong visi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan pusat digital terkemuka di Asia Tenggara.

Oleh :

Dr. Mohamad Taha Ijab
Institut Informatik Visual, UKM
taha@ukm.edu.my

(Visited 47 times, 3 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *