Persekitaran Kecerdasan Buatan sebagai Sumber Pendidikan

Bidang pendidikan sentiasa berkembang seiring dengan perkembangan teknologi, menjadikan penggunaan teknologi kecerdasan buatan kini turut menjadi sumber pengalaman pembelajaran yang sangat menarik dan mengujakan. Bagi orang awam, kecerdasan buatan atau AI bolehlah dimaksudkan sebagai keupayaan sebuah mesin untuk mensimulasikan fungsi pemikiran manusia dan melaksanakan tugas yang biasanya dilakukan oleh kepintaran manusia. Kepintaran manusia yang berupaya dilakukan oleh mesin tersebut meliputi pembelajaran dan penaakulan terhadap pengalaman atau sesuatu yang berlaku di sekelilingnya. Mesin kecerdasan buatan ini juga boleh mencapai tahap memahami sesuatu bahasa semulajadi untuk berkomunikasi sebagaimana manusia belajar berkomunikasi melalui bahasa. Malah, lebih dahsyat lagi, mesin kecerdasan buatan boleh menyelesaikan sesuatu masalah hanya melalui pengalaman aktiviti yang berlaku di sekelilingnya. Semakin banyak pengalaman yang dilalui, mesin tersebut akan menjadi semakin pintar.

Gambar: Ihsan daripada Google

Dalam sektor pendidikan, para pendidik telah mengambil kesempatan melalui teknologi kecerdasan buatan untuk membantu mereka melaksanakan rancangan pengajaran. Malah sesi teknologi kecerdasan buatan menjadikan sesi pembelajaran begitu seronok untuk dimanfaatkan oleh para pelajar. Khusus bagi pengaturcara komputer pula, beberapa persekitaran AI yang boleh diterokai sebagai sumber pendidikan atau alat bantu kepada aktiviti pengekodan adalah seperti Amazon CodeWhisperer, Google AI Studio, OpenAI Codex, GitHub Copilot, CodeWP, ChatGPT, CodeT5, Codeium dan banyak lagi. Bagi pengaturcara baharu, sudah tentunya perkara paling mencabar ialah untuk mentafsir sesuatu masalah dan menyelesaikannya dalam bentuk atur cara yang baik dan tersusun. Penggunaan teknologi persekitaran AI sudah pasti amat membantu kerana kebanyakan persekitaran ini sangat pintar menterjemahkan masalah yang diberi. Ada kalanya, persekitaran AI turut boleh menyelesaikan masalah yang kompleks dan memudahkan proses atur cara yang diperlukan.

Untuk memulakan siri pengalaman belajar dan bekerja bersama persekitaran AI, anda juga boleh mengikuti kursus-kursus secara dalam talian yang telah disusun oleh para pendidik. Di antara platform yang popular yang boleh anda sertai adalah seperti Udemy dan Coursera. Kursus-kursus AI ini telah disediakan oleh universiti-universiti terkemuka dari seluruh dunia. Jika anda seorang yang suka berdikari, maka anda juga boleh cuba belajar secara kendiri melalui Google’s Machine Learning Crash Course di pautan https://developers.google.com/machine-learning. Terdapat lebih daripada 12 modul pembelajaran dengan lebih daripada 100 latihan yang disediakan oleh Google’s Machine Learning Crash Course beserta video-video pengajaran yang sangat interaktif untuk anda terokai.

 

Oleh: Ts. Dr. Hjh Noraini binti Talib
nt@ukm.edu.my
Pusat Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Visited 53 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *