perkem ke V, 2010

Latarbelakang Persidangan

Ekonomi inovasi merintis era baru dalam pembentukan strategi untuk mencapai pertumbuhan mapan demi merealisasikan Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju. Untuk mencapai Wawasan tersebut, Malaysia memerlukan pertumbuhan yang tinggi dan mapan, yang mengikut penganalisis ekonomi perlu berada  pada kadar purata 7 peratus setahun. Walau bagaimanapun, kitaran perniagaan yang berlaku sejak dua dekad jelas menunjukkan kesukaran untuk mencapai pertumbuhan yang disasarkan. Rentetan krisis global yang berlaku termasuklah krisis kewangan ASEAN pada 1997, peristiwa 11 September 2001, wabak selsema burung khususnya di Asia pada 2003,  krisis gadai janji subprima pada 2006, kenaikan harga petroleum dan makanan pada 2008 dan serangan H1N1 pada 2009 telah menyebabkan kelembapan ekonomi yang berpanjangan. Keadaan ekonomi semasa menyukarkan lagi pencapaian matlamat Wawasan 2020.


Pencapaian pertumbuhan yang mapan memerlukan anjakan dalam pembentukan strategi yang berasaskan ekonomi inovasi. Terdapat dua teras dalam ekonomi inovasi, iaitu (i) peningkatan produktiviti dan inovasi,  dan (ii) perkongsian yang bijak  dan berkesan antara sektor swasta dengan sektor awam untuk mencapai produktiviti dan inovasi yang tinggi. Selaras dengan itu, Belanjawan 2010 yang digubal dengan tema 1Malaysia, Kemakmuran Bersama memberi fokus kepada menggerakkan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dengan memperkukuhkan peranan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan. Usaha ini disokong  dengan tiga strategi, iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan  mapan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat. Untuk mencapai matlamat tersebut, Belanjawan 2010 memberi keutamaan kepada usaha mewujudkan persekitaran kondusif bagi meransang perkembangan ilmu, teknologi, keusahawanan dan inovasi untuk terus maju dan berdaya saing. Dengan sumber yang terhad,  inovasi  merupakan unsur penting untuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mapan.

Objektif

  1. Memformulasi dan mengenalpasti tujahan ekonomi inovasi yang meransang dan memapankan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
  2. Mengumpul  penemuan kajian yang berkaitan dengan ekonomi inovasi yang boleh menjadi panduan dasar untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
  3. Mengenalpasti strategi, kelemahan, peluang dan halangan kepada pertumbuhan ekonomi.

Maklumat Tambahan

Untuk meningkatkan lagi kualiti kertas kerja yang akan dibentangkan, penulis kertas kerja mungkin akan dilantik sebagai penilai kepada kertas kerja penulis lain berdasarkan  kesesuaian bidang kepakaran masing-masing.

Semua kertas kerja yang diterima selepas proses penilaian akan diterbitkan dalam prosiding persidangan yang berwasit dengan ISBN

 

 
Kemaskini terakhir pada: 09-04-2010 | Copyright © 2010 | Design by Flash Templates