Asian Youth Volunteer Programme (AYVP) 2024 telah berlangsung dengan jayanya bermula 2 Disember 2024 sehingga 13 Disember 2024 di mana Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR), ALAF-UKM telah dipilih sebagai lokasi kemuncak penganjurannya pada tahun ini. AYVP 2024 telah berjaya menghimpunkan 50 pelajar antarabangsa dari negara-negara anggota ASEAN dengan tema “Planetary Health” yang menekankan kepentingan kelestarian kesihatan planet dan alam sekitar.
AYVP 2024 telah dianjurkan oleh Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (I-KOM) UKM sebagai sekretariat tetap dengan kerjasama strategik daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Sekretariat ASEAN. Turut serta dalam menjayakan program ini adalah Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Pusat Teknologi Maklumat (PTM) serta Pusat Kesihatan Universiti (PKU).
Pemilihan EKOMAR sebagai lokasi penganjuran program ini bukan sahaja memperkukuhkan peranan UKM dalam membangunkan generasi sukarelawan muda yang lebih cakna terhadap alam sekitar, malah turut menyerlahkan EKOMAR sebagai pusat rujukan utama dalam aktiviti penyelidikan, pendidikan dan pemeliharaan ekosistem marin. Pelbagai aktiviti praktikal yang memberi pendedahan kepada peserta antarabangsa mengenai budaya dan kehidupan masyarakat setempat turut dijalankan antaranya aktiviti memukat bersama nelayan, aktiviti pembuatan sata dan keropok lekor, aktiviti rewang bersama penduduk kampung serta mempelajari seni tradisional tarian zapin dan seni silat.
Turut hadir menyokong dan memeriahkan AYVP 2024 adalah YBrs. Dr. Aida Hanim A. Hamid, Pengarah Pusat Jaringan & Industri (I-KOM) UKM, YBhg. Prof. Dr. Zaidi Che Cob, Timbalan Pengarah (Pembangunan & Strategi) ALAF-UKM, YBrs. Dr. Salvinder Singh Karam Singh, Timbalan Pengarah I-KOM UKM dan En. Mohd Ezwan Jamigoe, Penghulu Mukim Mersing yang turut mewakili Pegawai Daerah Mersing.