ALAF-UKM telah mengadakan Kunjungan Hormat ke International Science, Technology and Innovation Centre UNESCO (ISTIC) pada 5 Julai 2024 bertempat di Bangunan Akademi Sains Malaysia, Kuala Lumpur. Pengarah ALAF-UKM, Prof. Madya. Dr. Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin, En. Ahmad Mustaqim Zolkafali, Ketua Pentadbiran dan En. Muhammad Haziq ‘Atif, Pegawai Promosi telah hadir ke sesi kunjungan hormat ini mewakili Pengurusan ALAF-UKM bagi sama-sama berbincang dengan lebih erat berkenaan kerjasama di antara pihak ALAF-UKM serta ISTIC-UNESCO khususnya di dalam bidang penyelidikan dan juga potensi kolabrasi di antara kedua-dua pihak.
Sesi pertemuan ini telah dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah ISTIC, YBhg. Prof. Chm. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman serta beberapa pegawai ISTIC untuk sama-sama berkongsi ilmu dan mengenal pasti ruang serta peluang kerjasama program yang bakal dianjurkan dalam masa terdekat. Selain itu, hasil pertemuan ini juga telah memberi peluang untuk kedua-dua belah pihak dalam perancangan penganjuran projek penyelidikan bersama, seminar dan bengkel serta penerbitan hasil penyelidikan secara kolaboratif.
Kerjasama ini juga diharapkan dapat memperkukuhkan lagi hubungan di antara ALAF-UKM dan ISTIC-UNESCO sekaligus memberi impak positif yang signifikan kepada kedua-dua institusi. ALAF-UKM menzahirkan penghargaan kepada pihak ISTIC di atas kesudian merealisasikan kunjungan yang amat bermakna ini. Diharapkan pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih baik dan berterusan demi mencapai matlamat bersama dalam memajukan bidang penyelidikan di dalam negara serta peringkat global.