ALAF-UKM telah mengadakan Kunjungan Hormat ke Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bertempat di Bilik Mesyuarat Bilik Ibnu Zahar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Pengarah ALAF-UKM, Prof. Madya. Dr. Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin, Ketua Pentadbiran, En. Ahmad Mustaqim Zolkafali, Ketua Bahagian Penjanaan dan Promosi, Puan Nor Fauziana Abdul Aziz, serta Pegawai Promosi, En. Muhammad Haziq ‘Atif telah hadir ke sesi kunjungan hormat ini mewakili Pengurusan ALAF-UKM bagi sama-sama berbincang dengan lebih erat berkenaan kerjasama di antara pihak ALAF-UKM dan JPT.
Perbincangan telah dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Haji Shushilil Azam Shuib dan turut dihadiri oleh Cik Fitreel Huda Ab. Rahim serta Encik Erizman Soib, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi. Objektif perbincangan adalah untuk membincangkan peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak berkenaan pakej Pelancongan Ilmu yang dibangunkan oleh ALAF-UKM selari dengan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi di Malaysia bagi memperkasa program penyelidikan bersama, pembangunan kemajuan komuniti setempat serta pembangunan modul pelancongan ilmu yang inovatif.
Melalui pertemuan ini, pelbagai input diberikan oleh pihak JPT dalam membantu pemurnian modul pelancongan ilmu yang dibangunkan oleh ALAF-UKM dalam memperluaskan pakej ini di peringkat antarabangsa melalui program mobiliti yang menawarkan program pelancongan ilmu. Kunjungan hormat ini menandakan permulaan yang positif bagi kerjasama yang lebih luas di masa hadapan di antara ALAF-UKM dan JPT seterusnya memartabatkan institusi pendidikan tinggi di Malaysia ke tahap yang lebih gemilang melalui program pelancongan ilmu.