PROGRAM WORLD CLEANUP DAY PERINGKAT NEGERI JOHOR BERLANGSUNG MERIAH
Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR), ALAF-UKM dengan kerjsama Majlis Daerah Mersing, Pergerakan Puteri Islam Perhubungan Negeri Johor, SWCorp, SWM Environment danTrash Hero Mersing telah mengadakan Program World Cleanup Day peringkat Negeri Johor yang telah berlangsung dengan jayanya di Persisiran Pantai Tanjung Resang, Mersing pada 28 September 2024 (Sabtu) lalu.
Program ini merupakan satu inisiatif yang amat bermakna dengan mengumpulkan pelbagai pihak bertujuan meningkatkan kesedaran tentang penjagaan alam sekitar melalui pembersihan kawasan pantai serta beberapa aktiviti sampingan seperti pertandingan pengumpulan bahan terbuang dan timbang berat, pertandingan kolaj, serta pertandingan fesyen menggunakan bahan kitar semula dengan penyertaan kira-kira 500 orang ahli Puteri Islam sekolah rendah serta menengah di seluruh Daerah Negeri Johor. Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada generasi muda untuk terlibat secara langsung dalam usaha pemuliharaan alam, tetapi juga mendidik mereka tentang tanggungjawab sosial dan kesan positif yang dapat dihasilkan melalui tindakan kolektif.
Program ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, En. Mohd. Norman Haji Noh, hadir sebagai wakil rasmi Pegawai Daerah Mersing. Turut hadir dalam program ini adalah Timbalan Pengarah (Strategi dan Pembangunan ALAF-UKM, Prof Dr. Zaidi Che Cob, Pengerusi Pergerakan Puteri Islam Malaysia Daerah Mersing, Pn. Norlaila Md. Ali serta Pengurus Cawangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam Cawangan Mersing, En.Faridatul Jamlus Mohd Moktar turut memberikan sokongan padu kepada program ini.
ALAF-UKM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di dalam penganjuran program ini. Melalui usaha bersama ini, diharapkan ianya dapat memupuk rasa tanggungjawab kecintaan terhadap alam sekitar serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.