YBrs. Dr. Roslan Ja’afar Pengarah, Pusat Perhubungan Alumni UKM
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada semua alumni Universiti Kebangsaan Malaysia
Pusat Perhubungan Alumni UKM (ALUMNI-UKM) mempunyai mandat yang besar dalam memastikan hubungan yang erat antara Alumni dan UKM terus diperkasa. Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang bagi memastikan hala tuju pelan strategik dapat direalisasikan. Antaranya adalah Jejak Alumni, Alumni Special Group (SAG), Alumni@industri, 60 minit bersama alumni, alumni aktif dan alumni-care. Selain daripada itu, Kompleks Alumni yang sedang dalam pembinaan diharap akan menjadi pusat buat para alumni berjumpa dan mengerat ukhwah antara alumni.
Dalam memperkasa penyampaian maklumat kepada para alumni, ALUMNI-UKM juga terus mengemaskini data alumni. Sehubungan dengan itu, saya menyeru para alumni untuk mengemaskini data peribadi melalui Sistem Maklumat Alumni UKM (SMA) bagi memastikan proses mengemaskini data alumni dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan tersusun. Data alumni yang lengkap kelak akan membolehkan pihak ALUMNI-UKM menyalurkan maklumat terkini secara terus kepada semua.
Akhir kata, saya berharap agar para alumni terus bersemangat untuk bersama-sama dengan barisan pentadbiran universiti dalam memastikan UKM terus unggul di persada antarabangsa.