ALUMNI CARE 11.0: SANTUN DAN SUMBANG SAHUR GELANDANGAN KUALA LUMPUR

Pusat Perhubungan Alumni UKM di bawah Flagship Alumni Care telah mengadakan Program Alumni Care 11.0: Santun & Sumbang Sahur Gelandangan yang bertempat di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur pada 27 Mac 2024. Program bermula dengan upacara simbolik flag off di Dataran Canselori UKM pada jam 8.30 malam dan tamat pada jam 12.00 tengah malam.
Program Alumni Care 11.0 ini melibatkan seramai 220 gelandangan yang disantuni. Mereka menerima sumbangan berupa pek bakul makanan serta barang keperluan lain seperti pad wanita, ubat dan berus gigi. Seramai hampir 50 sukarelawan terlibat yang terdiri daripada alumni, warga UKM serta orang ramai.
Program ini merupakan julung kali dianjurkan oleh Pusat Perhubungan Alumni UKM dan telah berjaya meraih sumbangan sebanyak hampir RM16,000 melalui sumbangan daripada Syarikat alumni iaitu Lightgreen Enterprise Sdn. Bhd, Yayasan Al-Manjie dan sumbangan daripada alumni UKM. Syarikat Kao Malaysia juga turut sama menjayakan program ini melalui sumbangan 40 kotak tuala wanita untuk gelandangan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua penyumbang yang telah menjayakan program ini. Turut hadir bersama YBrs. Dr. Roslan Ja’afar, Pengarah ALUMNI-UKM; YBrs. Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd Nor, Timbalan Pengarah (Aktiviti dan Jaringan) ALUMNI-UKM dan YBrs. Dr. Muhammad Sofwan Mahmud, Timbalan Pengarah (Pemasaran dan Penjanaan) ALUMNI-UKM.