Wacana ATMA: Pantun Akal Budi Melayu

Tajuk: Pantun Akal Budi Melayu : Seni Tradisi Lisan dalam persembahan
Tarikh: 2 Okt 2017
Tempat: Bilik Majlis, Bangunan Canselori
Oleh:
– Tuan Hj Djamal Tukimin (Singapura),
– Dr Noriah Mohamad (mantan Felo ATMA),

Dengan kerjasama:
Pusat Kebudayaan UKM


Sinopsis

Pantun Akal Budi Melayu : Seni Tradisi Lisan dalam persembahan

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) telah dilancarkan pada tahun 2009, walaupun nama asalnya dikenali sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang dilancarkan oleh oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1999. Lebih
awal dari itu, BBK ini bermula dengan program Minggu Bahasa Kebangsaan dana Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Kempen ini telah melalui perubahan pelbagai nama seperti Gerakan Cintai lah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996),Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta
(GBKSS) (1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998).

Tujuan Utama BBK adalah untuk memantapkan, memperkukuh juga mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia, menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan, dan mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan, serta menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

Justeru, sempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan setiap Oktober, ATMA menganjurkan Wacana ATMA bertajuk “Pantun Akal Budi Melayu : Seni Tradisi Lisan dalam persembahan”. Pantun adalah tradisi lisan dan menjadi salah satu perlambangan dalam Akal Budi Melayu. Akal Budi Melayu adalah rangkuman falsafah, pemikiran, perlakuan, emosi dan gaya hidup orang Melayu. Pantun dalam Akal Budi Melayu kerap dapat dilihat dalam upacara meminang dan kenduri kahwin orang Melayu, dalam ucapan pengacara majlis, lirik lagu, syarahan, dan pertandingan pantun. Bagaimanapun terdapat kekeliruan sebahagian ahli masyarakat terhadap identiti pantun dan kaedah mengolah pantun berbanding dengan seloka atau syair atau gurindam.

Wacana ini akan membicarakan kedudukan pantun masa kini, kaedah mengolah pantun yang berkualiti, dan persembahan pantun secara lisan dalam bentuk yang menarik. Dua tokoh bahasa yang banyak menulis dan menerbit tentang pantun telah dijemput khas bagi mengupas tajuk dalam Siri Wacana ATMA kali ini. ATMA juga menjemput ahli pantun dari Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia yang Berjaya menjadi Juara Temasya Pantun Islami anjuran USAS 2017 bagi menyampaikan persembahan pantun mereka. Wacana kali ini adalah anjuran ATMA dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti, UKM dan Pusat Penyelidikan Bitara Melayu (BAYU), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

ATMA telah membangunkan satu pangkalan data iaitu 1 JUTA PANTUN yang diletakkan dalam Portal Pengajian Alam dan Tamadun Melayu di malaycivilization.com.my untuk dimanfaatkan oleh peminat pantun, penyelidik dan orang ramai dari seluruh dunia. Kini sudah terhimpun
lebih 45 ribu pantun dalam pelbagai kategori yang boleh dicapai oleh awam. Wacana ini berharap dapat menggerakkan semula pengumpulan pantun untuk melengkapkan bilangan 1 Juta Pantun.

Kepada warga dunia yang sudi berkongsi pantun mereka, sama ada koleksi peribadi yang bukan ciptaan sendiri atau pantun ciptaan sendiri, ATMA bersedia menerima sumbangan pantun tuan-puan untuk diabadikan dalam pangkalan data 1 Juta Pantun Melayu. Nama penyumbang pantun akan dicatatkan bersama pantun yang diberikan. Semua sumbangan boleh dihantar melalui emel: pghatma@ukm.edu.my.

 

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my