Siri Wacana Cendekiawan ATMA: “Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu: Apakah Ia Sekadar Tanam Tebu Di Bibir Mulut?”
Sukacita di maklumkan bahawa Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM akan mengadakan Wacana Ilmiah dengan perincian seperti berikut:
Tarikh : 10 Oktober 2017 / Selasa
Masa : 9.00 Pagi
Oleh: Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Hj. Abdul Karim dan Prof. Dato’ Dr. Roslan Abd Shukor
Tempat : Bilik Majlis, Aras 5, Bangunan Canselori, UKM
Dijemput semua untuk hadir.
Sinopsis
Sempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan Oktober ini, ATMA menganjurkan Wacana Cendekiawan ATMA bertajuk “Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu: Apakah Ia Sekadar Tanam Tebu di Bibir Mulut?” dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Bitara Melayu (BAYU), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM
Kebangkitan kesedaran rakyat ingin melihat warga Malaysia, khususnya orang Melayu, tidak ketinggalan dalam pendidikan dan ekonomi telah mula terserlah pada pertengahan tahun 60an. Justeru pejuang Bahasa Kebangsaan, tokoh akademik, dan pemimpin politik telah mula mengorak langkah bagi menuntut negara ini membina sebuah institusi pendidikan tinggi yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara untuk menampung lulusan pelajar sekolah dari aliran Melayu meneruskan pengajian pendidikan di peringkat tinggi. Usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ini menjadi semakin kuat dan mendesak selepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969. Di atas aspirasi rakyat yang cukup tinggi ini, maka pada tahun 1970, tertubuhlah Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai sebuah universiti watan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dalam dewan kuliah dan buku-buku teks serta nota-nota pembelajaran. Seterusnya penerbitan buku-buku dalam bahasa Melayu semakin meningkat melalui proses penterjemahan, penulisan buku akademik yang baru, dan pembinaan istilah baru dalam bahasa Melayu sepanjang 40 tahun.
Bagaimanapun, usaha pengukuhan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ini terencat apabila sistem pendidikan negara memperkenalkan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2003. Ia mendapat tentangan yang hebat dari semua lapisan masyarakat khususnya pejuang bahasa, tokoh akademik, dan sebahagian besar NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dalam negara ini, dan akhirnya pada tahun 2009, PPSMI ini dimansuhkan. Sepanjang enam tahun PPSMI berjalan, kuliah di universiti juga mula menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran, dan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mula terpinggir semula. Usaha membina istilah baru serta penerbitan buku akademi dan makalah untuk jurnal dalam bahasa Melayu juga mula dikesampingkan.
Hari ini kedengaran kritikan di sana sini bahawa ungkapan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu hanyalah sekadar menanam tebu di bibir mulut sahaja. Sejauh mana kebenarannya? Kedengaran masih ramai lagi pensyarah yang memberi kuliah lebih kerap dalam bahasa Inggeris berbanding dengan kuliah dalam Bahasa Melayu. Hal ini terus berlaku kerana pelajar sekolah menengah yang masuk ke universiti telah melalui satu lagi program dwi-bahasa di sekolah yang dikenali sebagai Dual Language Program (DLP) yang diperkenalkan oleh sistem pendidikan negara pada tahun 2016. DLP dilihat sebagai satu penerusan usaha PPSMI dalam bentuk baru. Lebih 300 sekolah terlibat secara sukarela menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik. Sekali lagi usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tercabar dan menjadi terpinggir semula. Sekali gus, Bahasa Melayu terganggu untuk terus menjadi bahasa ilmu. Natijahnya boleh dilihat dalam trend statistik penerbitan buku dan makalah dalam bahasa Melayu dalam kalangan ahli akademik; ia juga boleh dilihat dalam amalan pengajaran di universiti apabila kuliah disampaikan dalam bahasa Inggeris atas alasan nota kuliah diberikan juga dalam Bahasa Inggeris.
Wacana ini akan membicarakan beberapa permasalahan yang masih kritikal walaupun Malaysia telah mencapai Kemerdekaan 60 tahun: antaranya ialah tahap keyakinan terhadap Bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu; sikap pemimpin negara, sikap dan pendirian pembuat polisi di kementerian, pemantauan dan penguatkuasaan penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan, dana penerbitan buku Bahasa Melayu; pola penerbitan buku dalam Bahasa Melayu; pola makalah dalam jurnal Bahasa Melayu, dan usaha-usaha baru dalam mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia khususnya dan di rantau ini amnya.
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my