Seni Silat Melayu: Falsafah, Ilmu dan Amalan Seni Silat Kegayungan Sri Sukma Sakti

Sinopsis:

Seni Silat Melayu adalah salah satu perlambangan Akal Budi Melayu yang di dalamnya mencerminkan falsafah, pemikiran, perlakuan, emosi dan gaya hidup orang Melayu di Nusantara. Seni Silat Melayu mempunyai asas ilmunya yang tersendiri digabungkan dalam lima aspek iaitu fizikal, mental, emosi, spiritual dan sosial yang perlu diselami dan dikupas secara ilmiah agar ilmu Seni Silat Melayu dapat dihargai dan menjadi relevan sepanjang zaman. Kelompangan dalam dokumentasi Seni Silat Melayu menyukarkan para penyelidik dan peminat silat menjalankan penyelidikan mengenai Seni Silat Melayu.

Wacana ini bertujuan memberi ruang kepada Persatuan Seni Silat Kegayungan Sri Sukma Sakti Malaysia (KESUMA), untuk berkongsi maklumat dan ilmu mengenai falsafah, sejarah, sumbangan KESUMA dalam dunia akademik dan pembangunan modal insan warga Malaysia serta berbincang secara ilmiah mengenai seni dalam pergerakan silat yang dimanifestasikan melalui bunga silat, buah silat, dan pelbagai teknik dalam mengelak, menepis, menangkis, mengunci, mematah, dan melumpuhkan musuh. Wacana ini juga akan memfokus kepada aspek akhlak dan produktiviti pesilat dalam proses pembangunan modal insan dan jati diri negara bangsa.
Antara tajuk yang akan dibincangkan ialah falsafah KESUMA, sejarah KESUMA, adab-adab berguru, penamat silat, sintuk dan limau, ibu gelanggang dan gelanggang pusat, tafsir logo dan silibus silat KESUMA.

Wacana ATMA Seni Silat Melayu ini akan dijalankan secara bersiri selama 3 tahun dan menjemput sebanyak mungkin organisasi Silat di Malaysia, disusuli dengan organisasi Silat dari Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thai yang merupakan Rumpun Melayu di atas pentas Sunda.

Adalah dharapkan keberhasilan wacana ini akan dapat dijelmakan dalam bentuk dokumentasi yang terdiri daripada teks, foto, audio dan video yang akan dimuatkan dalam pangkalan data di dalam Portal Pengajian Alam yang boleh dicapai di malaycivilization.com.my untuk tujuan rujukan dan aktiviti penyelidikan sebagaimana yang digariskan dalam perancangan strategi ATMA yang beriltizam menjadi pusat rujukan tersohor dalam pengajian Alam Melayu di dunia ini.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my