Siri Wacana ATMA: Warisan Teromba dalam Adat Perpatih: Generasi Lama, Generasi Baru

Sinopsis

Teromba merupakan satu bentuk puisi yang berbentuk bebas dan boleh mengandungi seloka dan pantun khusus dialunkan dalam majlis adat orang Melayu Minangkabau, dan lebih khusus lagi dalam Adat Perpatih. Teromba juga dikenali juga sebagai puisi adat yang mengandungi tatacara adat dan peraturan serta norma-norma hidup masyarakat khususnya tentang undang-undang adat yang diamalkan dalam kehidupan sosial dan mengamalkannya. Kalau lagu rap ada cerita dan kadar lajunya, teromba juga begitu, tetapi teromba penuh dengan nasihat, sindiran, gurauan, dan hiburan yang boleh membawa pada pencerminan diri, kesedaran diri, keinsafan, dan keasyikan.

Teromba lazimnya disampaikan oleh orang-orang tua dalam Majlis Adat Negeri Sembilan. Teromba yang dialunkan begitu lancar dan teratur oleh mereka ketua adat atau mereka yang terlibat dalam sesuatu majlis adat. Generasi lama, dari kumpulan generasi baby boomers yang lahir sebelum merdeka dan generasi X selepas merdeka agak mahir dalam berteromba. Tetapi generasi Y amat jarang yang boleh berteromba; apatah lagi generasi Z yang lahir selepas tahun 2000 dan Alfa yang ada pada hari ini, sudah pasti tidak mampu menyampaikan teromba.

Kebimbangan masyarakat ada benarnya apabila teromba tidak dihayati oleh generasi Y dan seterusnya. Terdapat usaha-usaha yang telah dibuat oleh beberapa pihak khususnya NGO, Kementerian Pendidikan Malaysia, dan komuniti adat di Negeri Sembilan, tetapi ia tidak banyak diketahui umum. Kita bimbang teromba yang menjadi khazanah bangsa ini terpinggir dan pupus dari warisan tradisi kita.

Tujuan Wacana ini ialah untuk mendedahkan kepada awam mengenai teromba, bentuknya dan kedudukannya masa kini serta mengajak masyarakat supaya dapat menghayati teromba bukan sahaja dalam majlis Adat Perpatih tetapi juga dikembangkan dalam majlis yang bukan bersifat adat. ATMA juga berhasrat mengumpulkan puisi adat ini dan puisi teromba dalam tema-tema bukan adat untuk mengkayakan pangkalan data Adat Perpatih di Portal Malaycivilization.com.my. Dengan adanya korpus ilmu tentang teromba ini, generasi muda termasuk pelajar, penyelidik, dan sarjana dapat merujuk kepada Big Data ini di ATMA UKM bagi tujuan penyelidikan mahupun untuk kegunaan umum.
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my