Siri Wacana Cendekiawan ATMA: Mitos Melayu Malas- Penilaian Semula Pemikiran Syed Hussein Alatas & Realiti Hari Ini
Sinopsis
Sejak selepas Pilihanraya Umum ke 14 tahun ini, kita mendengar banyak kali ungkapan “Melayu Malas” dihamburkan setiap minggu di sekeliling kita. Mengapa ini terjadi? Adakah benar Melayu malas? Atau apakah ada agenda tersembunyi di sebalik ungkapan itu? Adakah ia menjadi alasan politik oleh kerajaan untuk tidak lagi memberi kemudahan dan bantuan kepada orang pribumi, samada namanya Melayu atau Bumiputera?
Bilakah perkataan ““Melayu Malas” ini dicipta? Siapa yang menciptanya? Mengapa ia menjadi popular di satu masa dulu? Syed Hussien Alatas teleh menulis sebuah buku “The Myth of Lazy Native”pada tahun 1977 yang kemudian diterjemahkan dalam Bahasa Melayu, “Mitos Pribumi (Melayu) Malas), tetapi mengapa beliau menulis buku itu? Siapakah sasarannya? Mengapa beliau sebut ia satu mitos? Apakah mitos itu benar? Apa sejarah disebalik penulisan buku ini?
Apakah kesan persepsi dan estem diri ke atas orang Melayu, khususnya anak muda apabila ungkapan ini dihamburkan berulang-ulang kali dalam media dan dalam ucapan pemimpin politik? Kemudian ungkapan ini dimainkan bertubi-tubi oleh media yang cenderung kepada parti politik tertentu agar ia terus terlekat pada dada pembaca dan pendengar. Susulan itu terdapat dalam media sosial dan media komunikasi mobile whatsapp, anak-anak muda dan dewasa malu mahu mengaku Melayu dan tidak mahu dikaitkan isu Melayu lagi kerana bagi mereka Melayu adalah malas. Lantas mereka menghina orang Melayu dan menyalahkan orang Melayu dalam semua perkara. Mereka merasakan semua rakyat sama sahaja, tiada beza, tiada etnik, tiada warna, dan tiada beza agama.
Kalau Melayu malas, sudah pasti mereka tidak banyak yang berjaya menjadi professional dalam pelbagai bidang di Negara ini dan di peringkat global, tidak mampu memilik perniagaan dalam pelbagai jenis, tidak mampu memilik rumah kediaman mewah dan kenderaan mewah. Pastinya meeka tidak mampu membiayai pengajian anak-anak mereka di luar jika mereka malas. Apakah ada bukti empirikal yang menunjukkan Melayu malas? Apa ukurannya? Apakah menerima bantuan dan subsidi dari pemerintah negara itu oleh orang Melayu dinamakan Melayu Malas? Apakah kerana ramai pekerja asing mengambil upah di sektor buruh kasar, maka kita menganggap Melayu malas? Apakah etnik lain tidak ada yang malas?
Inilah antara soalan-soalan yang bermain dalam benak pemikiran rakyat. Wacana ini mendatangkan tokoh-tokoh intelek yang pernah hidu di zaman Syed Hussien Alatas, berinteraksi dengannya, da nada yang pernah menjadi anak murid kepada beliau. Maka layaklah mereka mengupas dan membahas tajuk ini dengan penih kritikal.
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my