Siri Wacana Cendekiawan ATMA: Kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu di Sisi Perlembagaan Persekutuan, Antara yang Tersurat & Tersirat
Sinopsis
Banyak salah faham dalam masyarakat terhadap kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan. Ini berlaku kerana pendedahan terhadap institusi Raja-raja Melayu adalah terlalu sedikit dan jarang kedengaran. Ia tidak didedahkan dalam sistem pendidikan kebangsaan secara berterusan dan menyeluruh dan ia juga tidak didedahkan kepada rakyat umum dalam media arus perdana khususnya dalam siaran radio dan televisyen Malaysia dari masa ke semasa. Maklumat mengenai institusi Raja-Raja Melayu dilihat sebagai eksklusif dan tidak inklusif. Justeru literasi maklumat mengenai institusi Raja-raja Melayu dalam kalangan generasi Y, Z dan Alfa adalah rendah dan akibatnya generasi ini tidak peka dan tidak faham hubungan di antara sistem monarki dan negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Lantaran timbullah kekeliruan dan salah faham terhadap Raja-Raja di Negeri dan Yang di-Pertuan Agong. .
Susulan timbulnya kekeliruan dan salah faham ini, kita menyaksikan pandangan buruk dan ucapan nista terhadap Yang di-Pertuan Agong oleh mereka yang jahil, emosi, dan etnosentrik. Sepanjang setahun Mei 2018 hingga April 2019 terdapat 867 laporan polis yang menunjukkan sebilangan individu yang menghina Raja-Raja Melayu dan tindakan undang-undang telah diambil ke atas beberapa individu yang didapati bersalah. Benarlah pepatah mengatakan, “manusia menjadi musuh pada perkara yang dia jahil mengenainya.”
Yang DiPertuan Agung dipilih oleh Majlis Raja-Raja, yang terdiri dari Raja-Raja Melayu Negeri. Di dalam Perlembagaan Persekutuan, terdapat peruntukan berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja selaras dengan prinsip Raja berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan. Status Raja Berperlembagaan di negara ini tidak sama dengan Raja atau Sultan di dalam masyarakat atau negara yang menganggap Raja atau Sultan sebagai pemimpin budaya dan sub-etnik.
Adakah benar status Yang di-Pertuan Agong hanya bersifat “ceremonial” atau terlibat dalam majlis adat-istiadat sahaja? Apakah baginda mempunyai beberapa kuasa spesifik yang di peruntukan di dalam Perlembagaan selaras dengan fungsi baginda sebagai Kepala Utama Negara bagi mengimbang kematangan demokrasi yang unik di Malaysia? Sejauh manakah kehadiran Raja-Raja Melayu dalam negara ini bercanggah dengan sistem demokrasi negara? Benarkah ada anggapan Raja-Raja Melayu hanyalah “boneka” dan adakah benar ada pihak mahu jadikan Raja-Raja melayu sebagai boneka? Apakah kedudukan institusi Raja-Raja Melayu tidak diperlukan lagi di negara ini? Apakah yang tersurat dan apakah yang tersirat yang kita tidak tahu? Inilah antara beberapa persoalan yang akan dibahaskan dalam wacana ini.
Wacana ini bertujuan mendedahkan kepada awam mengenai kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan agar masyarakat mendapat lebih banyak maklumat yang tepat dan betul. Wacana ilmiah ini juga akan mengupas dan membahaskan isu-isu relevan dan terkini mengenai salah faham dan kekeliruan yang berlegar dalam masyarakat kita, dan pastinya wacana ini dapat membantu orang awam amnya dan para pelajar dan penyelidik khususnya untuk memahami lebih mendalam mengenai isu-isu yang menjadi tanda tanya mereka selama ini.
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi
www.atma.ukm.my
pghatma@ukm.edu.my