Panglima Awang: Pengalaman Transformasi dari naskhah sastera sejarah ke teater bangsawan

Sukacita di maklumkan bahawa Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM akan mengadakan Siri Wacana Cendekiawan ATMA bertajuk Panglima Awang: Pengalaman Transformasi dari naskah sastera sejarah ke teater bangsawan. Dijemput semua untuk turut hadir.


Sinopsis:

Panglima Awang di kenali penguasa lima lautan; beliau yang dikatakan manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia dan sekaligus membuktikan dunia ini bulat. Di Muzium Terengganu sendiri terpapar kisah Panglima Awang anak Terengganu yang hebat ini. Panglima Awang dikenali juga sebagai Enrique de Malacca, seorang pemuda Melayu sekitar umur 18 tahun, menjadi tawanan dari taklukan Portugis Alfonso de Albuquerque di Melaka pada 1511, serta amat disayangi ahli pelayaran Ferdinand Magellan lalu ikut sama mengelilingi dunia dan menamakannya sebagai pewarisnya. Kisah pelayaran mengelilingi dunia Magellan pada 1519-1522 ini sudah amat terkenal dan beliau dijulang sebagai tokoh pengeliling dunia. Kisah Panglima Awang masih belum lagi diterima dan difahami secara meluas oleh Alam Melayu. Tidak banyak dokumentasi yang memaparkan kisah Panglima Awang untuk ditekuni oleh anak-anak muda hari ini.

Wacana kali ini mengundang 3 pembicara yang akan mengupas tentang seorang tokoh yang dianggap “seorang Wira Tak Di Dendan (the Unsung Hero) dalam Sejarah Empayar Melaka” pasca kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511. Pembicara pertama akan memperkenalkan tokoh Panglima Awang sebagai manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia bersama-sama Ferdinand Magellan serta melengkapkan pelayaran itu sehingga tiba semula di Selat Melaka dan akhirnya menjadi penduduk tetap (bermukim) dan meninggal dunia di daerah Rembau negeri Sembilan.Salah seorang cucunya dipercayai adalah pengasas kepada institusi Undang di wilayah itu, manakala seorang lagi keturunannya adalah juga seorang wira pemusnah Armada Belanda di Kuala Linggi, pimpinan Laksamana de Ruyter.

Pembicara kedua dan ketiga akan membicarakan bagaimana susah- senang serta cabaran yang dihadapi ‘team’ produksi ketika mentransfomasikan sebuah naskah/skrip tentang ‘wira dalam pelayaran’ dari bahan sastera dan sejarah ke pentas Bangsawan yang telah berjaya dilaksanakan bulan September tahun lalu (2016) serta reaksi atau penerimaan penonton terhadapnya.Ini dibandingkan dengan sebuah lagi naskah teater perjuangan (hasil penulis yang sama) “Harimau Malaya-Pejuang Gerila Force 136” yang pernah dipentaskan oleh Kelab Teater Rimba Ukm sebanyak enam kali diantara 1999-2006.

Wacana ini diharapkan dapat menarik perhatian para sejarawan dalam Alam Melayu untuk menulis semula sejarah Panglima Awang sebagai usaha dokumentasi kisah silam yang tidak banyak diketahui umum. Ia juga diharapkan mendapat perhatian anak muda untuk membuat penyelidikan mengenainya dan menghasilkan satu dokumen ilmiah yang menjadi rujukan tempatan dan global. Tidak lupa juga kepada pakar ICT khususnya dalam bidang permainan komputer boleh menghasilkan permainan digital yang sekaligus boleh menduduk generasi muda mengenai Panglima Awang.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my