Siri Wacana ATMA: Kuasa Raja-Raja Melayu: Antara Perlembagaan dan Warisan dalam Rangka TN50

 

Sinopsis

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, budaya dan agama tetapi didokongi oleh kehadiran Raja-Raja Melayu manakala Islam menjadi agama Persekutuan. Persoalan mengenai kesetiaan kepada Raja dan Negara yang termaktub dalam Rukun Negara hanya berada di bibir mulut rakyat Malaysia tetapi sejauh manakah kefahaman dan penghayatannya oleh pemimpin dan rakyat pelbagai kaum khususnya generasi masa kini dan masa depan dalam 30 tahun akan datang iaitu generasi TN50 tidak dapat dipastikan.

Kuasa Raja-Raja Melayu sering dianggap sebagai tertakluk kepada kuasa warisan budaya Melayu walaupun ia disebutkan sebagai Raja Berpelembagaan. Konsep Raja Berperlembagaan juga sering disalahtafsirkan dan ada pihak menuduh Raja-Raja Melayu sebagai boneka kerana tidak ada kuasa eksekutif. Dalam menghadapi Transformasi 2050, masyarakat Malaysia ketika ini masih dibelenggu dengan salah faham terhadap kuasa Raja-Raja Melayu, apatah lagi dengan generasi muda iaitu generasi Z yang lahir selepas 1995 dan generasi Alfa yang lahir selepas 2012 mungkin mempunyai jurang yang besar dalam memahami kedudukan Raja-Raja Melayu dari sudut warisan dan Perlembagaan.

Justeru memahami sejarah latar belakang keberadaan Raja-Raja Melayu sebagai salah satu pasak di Alam Melayu termasuk Malaysia ini adalah suatu keperluan untuk masyarakat semalam, hari ini, esok dan selamanya. Sejarah Alam dan Tamadun Melayu di Pentas Sunda ini sudah merakamkan bahawa Raja-Raja Melayu adalah antara komponen penting dalam pembentukan dan pembangunan Alam Melayu dan ia tidak dipisahkan dari darah dan jiwa orang Melayu. Oleh itu, cubaan untuk mengecilkan kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu dan usaha memperlekehkan Raja-Raja Melayu adalah suatu yang amat sensitif dan boleh mengundang bencana dalam negara. Rakyat khususnya yang bukan Melayu harus menerima hakikat bahawa Raja-Raja Melayu dan kuasa Raja-Raja di sisi Perlembagaan adalah sebahagian dari aspek yang memulihara keamanan, keharmonian dan kesejahteraan negara yang kita kecapi selama ini. Dengan itu, memahami kuasa Raja-kuasa Melayu dari sudut Perlembagaan juga menjadi satu kemestian selain dari memahami sejarah latar Raja-Raja Melayu dari dulu hingga hari ini.

Wacana ini bertujuan untuk mengupas dan membahas konsep, skop dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu dari sudut warisan dan Perlembagaan Malaysia. Apakah kuasa Raja-Raja Melayu hanya satu warisan yang bersifat budaya semata-mata dan tidak mengapa kalau budaya ini dihapuskan dan digantikan dengan kuasa politik demokrasi secara total sebagaimana dalam negara republik? Apakah kedudukan Raja-Raja Melayu menjadi persaingan kuasa kepada Perdana Menteri dan Kabinet kerajaan dalam memulihara agama Islam, tanah rizab Melayu, askar Melayu, bahasa Melayu, dan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera? Apakah kesetiaan kepada Raja dan negara itu suatu yang kekal atau sementara, yang dipaksa atau yang diterima dengan hati sukarela, atau yang ditolak kerana sentimen perkauman dan politik atau diterima sebagai sebahagian dari jati diri Alam Melayu? Bagaimanakah keberadaan Raja-Raja Melayu menjelang 30 tahun akan datang dalam masyarakat Transformasi 2050? Inilah antara persoalan yang perlu dirungkai oleh Wacana ini.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my