Siri Wacana ATMA: Seni Silat Melayu: Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Sinopsis

Seni Silat Melayu adalah salah satu perlambangan Akal Budi Melayu yang di dalamnya mencerminkan falsafah, pemikiran, perlakuan, emosi dan gaya hidup orang Melayu di Pentas Sunda ini termasuk Malaysia. Seni Silat Melayu mempunyai asas ilmunya yang tersendiri digabungkan dalam lima aspek iaitu fizikal, mental, emosi, spiritual dan sosial yang perlu diselami dan dikupas secara ilmiah agar ilmu Seni Silat Melayu dapat dihargai dan menjadi relevan sepanjang zaman. Kelompangan dalam dokumentasi Seni Silat Melayu menyukarkan para penyelidik dan peminat silat menjalankan penyelidikan mengenai Seni Silat Melayu. Dalam sejarah persilatan tanah air, Silat Seni Gayong adalah antara Silat yang tertua dan terbesar dalam negara.

Wacana ini bertujuan memberi ruang kepada Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia PSSGM untuk berkongsi maklumat dan ilmu mengenai sejarah, falsafah, adat istiadat Gayong dalam dalam pembentukan jati diri Melayu, konsep pembelajaran gelanggang di alam millennium, serta sumbangan PSSGM dalam dunia akademik. Wacana ini turut berbincang secara ilmiah mengenai seni dalam pergerakan silat yang dimanifestasikan melalui bunga silat, buah silat, dan pelbagai teknik dalam mengelak, menepis, menangkis, mengunci, mematah, dan melumpuhkan musuh. Wacana ini juga akan memfokus kepada aspek akhlak, disiplin diri dan produktiviti pesilat dalam proses pembangunan modal insan dan jati diri negara bangsa.

Wacana ATMA Seni Silat Melayu ini akan dijalankan secara bersiri selama 3 tahun dan menjemput sebanyak mungkin organisasi Silat dari seluruh Malaysia, disusuli dengan organisasi Silat dari Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thai yang merupakan Rumpun Melayu di atas pentas Sunda.

Adalah diharapkan keberhasilan wacana ini akan dapat dijelmakan dalam bentuk dokumentasi yang terdiri daripada teks, foto, audio dan video yang akan dimuatkan dalam pangkalan data di dalam Portal Pengajian Alam yang boleh dicapai di malaycivilization.com.my untuk tujuan rujukan dan aktiviti penyelidikan sebagaimana yang digariskan dalam perancangan strategi ATMA yang beriltizam menjadi pusat rujukan tersohor dalam pengajian Alam Melayu di dunia ini

 

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my