Siri Wacana Cendekiawan ATMA: “60 Tahun Merdeka: Bahasa Melayu – Aper bende lagi tuw?”

Sukacita di maklumkan bahawa Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM akan mengadakan Wacana Ilmiah dengan perincian seperti berikut:

Tarikh : 06 September 2017 / Rabu
Masa : 9.30 Pagi
Tajuk: 60 Tahun Merdeka: Bahasa Melayu – Aper bende lagi tuw?
Oleh: Datuk Zainal Abidin Borhan, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan
Tempat : Bilik Senat, Bangunan Canselori UKM

Dijemput semua untuk turut hadir.

Pra pendaftaran: Sila klik di sini untuk daftar

 


Sinopsis

Siri Wacana Cendekiawan ATMA “60 Tahun Merdeka: Bahasa Melayu – Aper Bende Lagi Tuw?”

Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan negara ini sepertimana yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia. Ia adalah bahasa pengantar di pejabat kerajaan, sekolah, universiti, media cetak arus perdana dan media elektronik arus perdana. Ia adalah bahasa perpaduan. Ia adalah bahasa ilmu. Meskipun masa berubah, Bahasa Melayu terus relevan kerana ia adalah bahasa yang hidup; kosakatanya bertambah mengikut keperluan semasa tetapi dalam keadaan terkawal. Pendekatan “atas-ke bawah” (top-down) dalam memulihara bahasa Melayu adalah lebih baik dari pendekatan “bawah ke atas” (bottom-up). Pendekatan kedua yang mengizinkan orang awam bebas menambah atau mengubah kosakata boleh memporak-perandakan jatidiri bahasa.

Antara cabaran besar yang dihadapi oleh Bahasa Melayu kini ialah kesan kemasukan bangsa asing sebagai pekerja dan pelajar ke negara ini dan penggunaan teknologi web dan mobile yang mendorong kepada salahguna perkataan, salah ejaan, dan salah sebutan dalam bahasa Melayu. Malah ada MAJIKAN tidak beri perhatian kepala kesilapan bahasa pekerjanya manakala ada PENGUATKUASA TEMPATAN pula meluluskan iklan dalam bentuk banner, bunting, papan tanda bangunan, papan tanda jalan, dan papan tanda premis perniagaan yang terdapat salah guna kosakata, salah ejaan, dan salah struktur ayat yang menyebabkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan awam. Ia menjadi lebih serius dari itu apabila ada pembaca yang menganggap mereka mendapat input yang betul sedangkan ejaan dan struktur iklan dan papan tanda itu adalah salah. Tidak kurang juga dalam kalangan remaja yang merosakkan jati diri bahasa dengan menggunakan bahasa singkatan dalam konteks formal dan ejaan yang pelik dan melampau. Mengapa ia dbiarkan? Apakah majikan dan penguatkuasa tidak peduli semua kesalahan bahasa ini? Siapakah dalam negara ini yang bertanggungjawab memantau penggunaan bahasa Melayu? Siapakah yang bertanggung jawab melaksanakan penguatkuasaan peraturan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam konteks formal? Sejauh mana bahasa Melayu boleh mengambil atau meminjam kosakata lain dari lain seperti bahasa Nepal, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, dan Mandarin ketika kita masih ada kosakata tempatan yang melambangkan jati diri bahasa Melayu? Apakah fenomena bahasa singkatan suatu masa dulu masih bermaharajalela merosakkan bahasa anak muda dan remaja? Atau apakah etika komunikasi serta adab-adat komunikasi antara seseorang dengan seseorang yang lain tidak difahami oleh pengguna bahasa?

Wacana ini mengharapkan dapat meningkatkan kesedaraan awam terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam konteks formal khususnya. Kejayaan penggunaan sesuatu bahasa yang terletak pada proses pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan peraturan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Oleh itu badan penguatkuasaan ini haruslah diterima ramai untuk bertindak bagi memulihara jati diri bahasa Melayu dari masa ke semasa.