Siri Wacana Cendekiawan ATMA: Bitaranya Teori Kepimpinan Malayonesia dalam Bahasa Melayu berbanding dengan Bahasa Inggeris

Sukacita di maklumkan bahawa Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM akan mengadakan Wacana Ilmiah dengan perincian seperti berikut:

Tarikh : 16 Oktober 2017 / Isnin
Masa : 8.30 Pagi
Oleh: Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain dan Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan
Tempat : Bilik Wacana, ATMA UKM

Dijemput semua untuk turut hadir.

 


Sinopsis

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) telah dilancarkan pada tahun 2009, walaupun nama asalnya dikenali sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang dilancarkan oleh oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1999. Lebih awal dari itu, BBK ini bermula dengan program Minggu Bahasa Kebangsaan dana Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Kempen ini telah melalui perubahan pelbagai nama seperti Gerakan Cintai lah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996),Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998).

Tujuan Utama BBK adalah untuk memantapkan, memperkukuh juga mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia, menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan, dan mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan, serta menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

Justeru, sempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan Oktober ini, ATMA menganjurkan Wacana Cendekiawan ATMA bertajuk “Bitaranya Teori Kepemimpinan Malayonesia dalam Bahasa Melayu Melayu berbanding dengan Bahasa Inggeris” dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Bitara Melayu (BAYU),  Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM

Bitaranya teori kepemimpinan Malayonesia (rantau yang menggunakan bahasa Austronesia) terletak pada sejarah mulanya, bahasanya, dan matan teorinya. Teori kepemimpinan Malayonesia dalam bahasa Melayu bermula tersirat dalam prasasti abad ke-7 Masihi ketika Inggeris belum pun ada tulisannya. Teori kepemimpinan pertama yang asli dalam bahasa Melayu dan ditulis khas memerihalkan sifat-sifat pemimpin bertaraf dunia dengan istilahnya cakravantin muncul dalam prasasti bertarikh 1088 M ketika orang Inggeris berada dalam Zaman Gelap Eropah.

Teori kepemimpinan yang lebih komprehensif muncul dalam tahun 1603 M, Taj al-Salatdin, dan 1638 M, Bustan al-Salatdin, sekali gus dianggap dua buah karya agung dalam bahasa Melayu klasik pun terdahulu daripada karya kepemimpinan dalam bahasa Inggeris yang berupa terjemahan dalam tahun 1640 terhadap Il Principia (dalam Bahasa Italia) oleh Machiavelle dan karya aslinya Leviathan oleh oleh Hobbes 1651. Oleh sebab semua teori ilmu sarat bergantung bahasa perantaraannya, ilmu kepemimpinan amat tidak terkecuali, maka ditunjukkan juga perbezaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam makna pimpin dan lead sahaja pun terbukti memberi teori kepemimpinan yang bitara berbeza.

Pada keseluruhannya, berasaskan sumber-sumber karya yang disebut di atas, dan peribahasa dalam bahasa Melayu klasik, serta dua buah lagi karya agung Malayonesia Hikayat Raja Pasai abad ke-15 M, dan Sejarah Melayu 1612 yang tersirat adanya teori kepemimpinan, ditonjolkan bahawa teori kepemimpinan dalam bahasa Melayu itu sarat dengan nilai keagamaan (Islam dalam karya abad ke-15 hingga ke- 17 M dan Buddha dalam karya sebelum itu) tetapi kedua-dua karya kepemimpinan dalam bahasa Inggeris itu sarat dengan nilai anti-agama atau ateis sahaja. Keseluruhannya teori kepemimpinan dalam bahasa Melayu itu dapat dikontemporerkan menjadi intipati teorinya yang disenaraikan sebagai 13 aksiom kepemimpinan Malayonesia dan dibuktikan intipati ini dapat menandingi, bahkan mengatasi, aksiom kepemimpinan dalam bahasa Inggeris kini.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my