Siri Wacana Cendekiawan ATMA- Flora & Fauna dalam Etno-Sains Perubatan Alam Melayu

Sinopsis

Sebelum wujudnya sains perubatan,  setiap komuniti kaum atau etnik mempunyai korpus ilmu kearifan tempatan mengenai bahan  flora dan fauna yang digunakan bagi menangani pelbagai penyakit yang dihadapi oleh orang setempat. Meskipun komuniti terdahulu tidak mempunyai bukti sains untuk mewajarkan penggunaan bahan flora dan fauna dalam merawat pesakit, bukti empirikal yang menunjukkan pesakit telah sembuh dan kembali sihat menambah keyakinan perawat dan komuniti terhadap bahan  flora dan fauna atau kenali juga sebagai bahan alami untuk perubatan tempatan atau tradisional.

Apa yang lebih menarik juga terdapat kepercayaan atau kefahaman mistik terhadap bahan flora dan fauna yang digunakan oleh komuniti tradisional dalam memberi khidmat rawatan kepada pesakit.  Agar sukar untuk dibuktikan seseorang  pesakit boleh sembuh dengan sebab sumbangan mistik flora dan fauna dalam proses rawatan.  Tapi kepercayaan yang sudah menjadi warisan ilmu dari satu generasi kepada generasi seterusnya masih dipegang kemas oleh sebahagian ahli komuniti khususnya perawat yang dikenali sebagai dukun dan pawang.  Apa yang penting ialah pesakit sembuh dan kembali sihat selepas khidmat rawatan yang diberikan mempunyai kaitan dengan kepercayaan mistik.

Hari ini trend kepercayaan mistik masih wujud dalam komuniti tradisional di Malaysia walaupun sudah berkurangan disebabkan adanya kaedah sains yang boleh membuktikan kewajaran sesuatu bahan flora atau fauna untuk merawat satu-satu penyakit.  Dengan adanya sumbangan ilmu sains tulen dan sains perubatan, masyarakat hari ini boleh memilih untuk menggunakan ubat yang mempunyai bahan kimia dan dadah termasuk yang diproses dari sumber flora atau ubat dari bahan flora atau fauna semata-mata.

Perubatan homeopathy di Jerman, perubatan sengseng di China, dan perubatan Ayurveda di India yang menggunakan sumber alami iaitu flora dan fauna sudah mendapat tempat di seluruh dunia melalui produk  yang diimport dan dieksport dalam dunia dagangan.  Perubatan ini dianggap sebagai perubatan alternatif kepada rawatan hospital.

Bagaimana pula dengan perkembangan perubatan Melayu yang menggunakan sumber flora dan fauna? Apakah sains perubatan tidak mampu mengesahkan bukti empirikal bagi mewajarkan kesesuaian sesuatu bahan flora atau fauna untuk digunakan sebagai rawatan alternatif kepada rawatan hospital? Apakah masyarakat di Malaysia yang padat dengan  hutan tropika dan sumber flora dan fauna yang kaya ini tidak mampu dimanfaatkan  dalam etno-sains perubatan Alam Melayu? Apakah langkah-langkah bagi mendokumentasikan ilmu kearifan tempatan ini sudah cukup dan sejauh mana dokumentasi ini sudah diterima pakai dalam bidang perubatan di tanah air? Apakah korpus ilmu kearifan tempatan ini boleh dipatentkan dan dijadikan hak milik negara ini? Apakah implikasi undang-undang terhadap korpus ilmu ini dan kesannya dalam pembangunan ekonomi komuniti tempatan?

Inilah antara persoalan yang akan dikupas dan dibahas oleh ahli panel dalam Wacana ini. Adalah diharapkan Wacana ini akan menyumbang kepada pengumpulan maklumat terbaru, bahan rujukan terkini,  dan makalah-makalah yang dapat dimasukkan dalam portal pengajian Alam Melayu di malaycivilization.com.my bagi tujuan rujukan para penyelidik, sarjana, perawat, pelajar dan orang awam.  Bahan dokumentasi ilmu ini penting bagi melebarluaskan bidang etno-sains perubatan Alam Melayu di pentas global.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my