Siri Wacana Cendekiawan ATMA: Kelangsungan Kuasa Politik Melayu di Pentas Sunda

Sinopsis

Kuasa politik orang Melayu di Malaysia sering disalah tafsir oleh banyak pihak khususnya orang bukan Melayu yang mempertikaikan asal usul orang Melayu di negara ini. Ada yang menganggap orang Melayu juga adalah pendatang dari negara Indonesia dan Patani dan bukan orang asal negara ini sedangkan fakta geografi menunjukkan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal di Pentas Sunda. Pentas Sunda adalah plat yang menjadi pengikat tanah besar Melayu yang pecah menjadi semenanjung (Malaysia) dan pulau-pulau (Sumatera, Borneo, Jawa dsb) akibat letusan gunung berapi Krakatoa dan banjir besar yang berlaku lebih 60 ribu tahun dahulu

Malaysia, Indonesia, Borneo, Sumatera, Jawa, Filipina, Selatan Thai, sebahagian Kemboja dan Vietnam berada di Pentas Sunda yang mengikat negara-negara ini yang dikenali sebagai Malay Archipelago atau Alam Melayu dan ada juga disebut sebagai Nusantara. Penduduk paling besar di Pentas Sunda adalah terdiri dari etnik dari rumpun Melayu yang dikatakan memiliki ciri-ciri tertentu seperti kulit sawo matang dan purata ketinggian purata 5.3 kaki, berbudaya makanan yang hamper sama, berbudaya pakaian yang hampir sama, dan memiliki Akal Budi Melayu yang sama. Di dalam rumpun Melayu inilah terdapat orang Melayu, Banjar, Jawa, Senoi, Mandailing, Batak, Melayu Kadazan, Iban, Malanau, Aceh, Palalawan dan sebagainya.

Sebagai penduduk asal Rumpun Melayu di Pentas Sunda, yang mempunyai sistem pemerintahan Raja-Raja dan Sultan sejak dahulu lagi, kuasa politik di Alam Melayu ini adalah berada di tangan orang Melayu. Hari ini Malaysia, Indonesia, dan Brunei adalah negara yang dikuasai oleh kelompok Rumpun Melayu. Tidak sebagaimana bumi Amerika, New Zealand, dan Australia yang mana orang Inggeris dari Pentas lain menjajah bumi berkenaan dan memiliki kuasa politik ke atas negara tersebut serta meminggirkan penduduk asal di sana. Pemilikan kuasa politik Melayu di Malaysia pastinya mempunyai kesan atau pengaruh ke atas persekitaran geopolitik Pentas Sunda. Apa yang berlaku di Indonesia misalnya boleh memberi kesan ke atas Malaysia, Brunei dan sekitarnya; begitu juga sebaliknya. Singapura pada asalnya adalah sebahagian dari Malaysia dan terdiri dari penduduk Rumpun Melayu.

Melalui sistem demokrasi berpilihanraya, penduduk yang berasal dari Pentas Yangtze dan Pentas India, telah bermastautin, hidup dan mati di negara ini telah memiliki kerakyatan negara Malaysia dan diberikan hak mengundi dan memilih pemimpin politik mereka. Ini bermakna kuasa politik di negara ini terbuka kepada semua etnik rakyat negara ini untuk memilikinya melalui saluran pilihanraya. Kemenangan mana-mana parti politik yang bertanding dalam pilihanraya akan menentukan kuasa politik yang dominan.

Persoalannya apakah kuasa politik di Pentas Sunda ini bebas dimiliki oleh sesiapa sahaja atau orang Rumpun Melayu yang harus memiliki kuasa politik di Pentas Sunda ini? Jika orang Rumpun Melayu ini lemah dari sudut ekonomi dan pendidikan, apakah tidak mungkin kelompok lain daripada Rumpun Melayu akan mendominasi kuasa politik di negara ini dan negara-negara lain di Alam Melayu ini? Jika ia berlaku, apa akan jadi pada kedudukan budaya, warisan, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, tanah rezab orang Melayu, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama persekutuan di negara ini?

Bukankah di saat ini pun, tujuh wasiat Raja-Raja Melayu ini sering dipertikaikan oleh mereka yang bukan Melayu di negara ini? Bukankah di ketika ini pun, kita mendengar ada suara-suara politik yang mahukan negara Malaysia menjadi republik seperti Singapura jika mereka menang dalam pilihanraya dan memerintah negara? Tidakkah hari ini sudah terdapat sekolah-sekolah berbahasa ibunda khususnya dalam bahasa Cina yang semakin bertambah dan dituntut supaya ditambah lagi? Apakah ini semua sebahagian dari proses pemilikan kuasa politik oleh orang bukan dari Rumpun Melayu?

Apa pula akan kesan geopolitik di Pentas Sunda atau Alam Melayu ini jika kuasa politik di Malaysia di dominasi oleh orang dari Pentas Yangtze dan Pentas India? Apakah implikasinya? Kalau Indonesia mengamalkan pendekatan asimilasi yang mencairkan jati diri rakyatnya menjadi Indonesia serta menghormati dan mematuhi Perlembagaan Indonesia, apakah pendekatan integrasi yang diamalkan di Malaysia ini mampu menjadikan rakyatnya menerima Perlembagaan sepenuhnya termasuk Raja-Raja Melayu sebagai pasak bumi di Alam Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di dalam pendidikan dan alat perpaduan di negara ini?

Justeru kelangsungan kuasa politik orang Melayu di Pentas Sunda atau Alam Melayu ini perlu dilihat, diteliti, dan dibahaskan agar rakyat di negara ini memahami sejarah, warisan dan budaya Alam Melayu dalam arena politik Malaysia. Wacana ini akan melihat bagaimana sejarah perkembangan kuasa politik orang dari Rumpun Melayu di negara ini selepas merdeka, dan kesannya ke atas pengurusan dan pentadbiran negara yang meliputi semua aspek dan aktiviti kehidupan di Malaysia. Wacana ini juga akan menyentuh kesan dan pengaruh kuasa politik orang Melayu ke atas negara jiran di Pentas Sunda.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my