Siri Wacana Cendekiawan ATMA: Konflik Antara Keperluan & Kemahuan: Sekolah Kebangsaan & Sekolah Vernakular dalam Pembangunan Negara Bangsa di Alam Melayu

Sinopis

Isu sekolah aliran bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dan sekolah aliran bahasa ibunda di sekolah vernakular seperti bahasa Cina (Mandarin) dan bahasa Tamil bukanlah satu isu baru. Ia sudah dibahaskan berpuluh tahun dan masih terus dibahaskan.

Mungkin ia ada rentetan sejarah bahawa ia sudah bermula sebelum merdeka lagi. Ketika British menawarkan pendidikan arus perdana dalam bahasa Inggeris, sekolah vernakular juga wujud iaitu dalam bahasa ibunda bahasa Melayu, bahasa Cina (Mandarin) dan bahasa Tamil. Orang Melayu tidak mahu anak-anak mereka dididik di sekolah Inggeris kerana dikatakan bimbang akan dipengaruhi oleh agama Kristian apabila buku bacaan yang digunakan ialah kitab Bible.  Manakala etnik Cina dan India pula menuntut sekolah vernakular dalam bahasa ibunda mereka atas alasan mahu memulihara bahasa, budaya, pemikiran, dan adab resam etnik masing-masing.

Selepas merdeka sekolah aliran Inggeris telah bertukar kepada kepada aliran kebangsaan dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kerajaan bermula 1975 dimana matapelajaran diajar dalam bahasa kebangsaan dan peperiksaan LCE bertukar menjadi SRP pada tahun 1978, dan peperiksaan MCE bertukar menjadi SPM pada tahun 1980. Lantaran apa perlunya sekolah vernakular wujud lagi atau mahu ditambah lagi? Apakah pihak Kementerian Pelajaran tidak boleh atau tidak mampu masukkan pendidikan bahasa ibunda etnik, adat resam dan budaya etnik dalam kurikulum pendidikan kebangsaan di sekolah kebangsaan hari ini?
Apakah alasan yang sama sebelum merdeka dan selepas merdeka seharusnya tidak boleh diterima lagi dan tidak boleh dikekalkan berterusan? Selepas merdeka, negara mempunyai agenda pembangunan negara bangsa yang mana rakyat harus ada pemikiran, jiwa, dan semangat kenegaraan yang sama. Salah satu acuan dalam pembangunan negara bangsa ialah pendidikan. Pengenalan Rukun Negara selepas 13 Mei ialah bagi memupuk pemikiran, jiwa, dan semangat kenegaraan yang sama dalam bahasa kebangsaan dilaksanakan di sekolah dalam proses membina generasi baru.  Bertolak dari sini, perkembangan ekonomi dan pemupukan perpaduan nasional akan dapat dilaksanakan dengan baik melalui bahasa kebangsaan, iaitu bahasa interaksi,  bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa ekonomi.

Terdapat parti-parti politik seperti DAP, PKR, MCA dan MIC serta NGO seperti Dong Zong dilihat sebagai menuntut penambahan sekolah vernakular. Apakah keperluan untuk kekalkan atau menambah sekolah vernakular? Apakah pendirian mereka berdasarkan kepada kepentingan politik kepartian atau kepentingan pembangunan negara bangsa?

Hari ini polemik perbahasan bukan lagi tentang sekolah kebangsaan lawan sekolah vernakular, tetapi perbahasan perlu atau kehendak (needs vs wants). Apakah ada keperluan lagi untuk wujudkan sekolah vernakular dalam bahasa lain dari bahasa kebangsaan?  Atau apakah keperluan itu dilihat dari sudut kepentingan kepartian atau kepentingan etnik tertentu?  Atau kepentingan negara bangsa? Sebaliknya apakah ia satu kemahuan golongan tertentu yang bertopengkan hak asasi golongan etnik dan kepentingan politik kepartian tertentu?  Apakah tidak memadai sekolah kebangsaan mewajibkan semua pelajar di sekolah mempelajari bahasa Cina dan Tamil sepanjang mereka berada di sekolah rendah dan menengah untuk mewujudkan perpaduan kaum?

Di Malaysia Timur, etnik Iban (Dayak) dan Kadazan adalah etnik terbesar dan mereka mengikuti pendidikan sekolah aliran bahasa kebangsaan tanpa menuntut sekolah vernakular dalam bahasa mereka. Mengapa etnik Iban dan Kadazan yang merupakan penduduk asal negara ini tidak pernah menuntut sekolah vernakular mereka sendiri? Oleh itu, apa yang unik atau hebatnya alasan etnik Cina dan India di negara untuk membuat tuntutan sekolah vernakular? Adakah ia satu keperluan atau ia satu kemahuan? Apakah ia satu kehendak atau nafsu bersandarkan motif politik untuk mendapatkan sokongan dan undi dalam pilihanraya sehingga sanggup mengenepikan agenda pembangunan negara bangsa? Semua soalan ini akan dijawab oleh ahli panel yang  terdiri dari tokoh pendidik, tokoh bahasa, dan tokoh budaya yang tersohor di rantau ini.

Tujuan wacana ini ialah untuk mengupas isu konflik utama iaitu keperluan atau kemahuan dalam nenentukan wajar atau tidak wajar pengekalan dan penambahan sekolah vernakulkar dalam usaha membangunkan negara bangsa. Isu konflik sering disalahtafsirkan oleh banyak pihak dengan memfokus kepada sekolah sedangkan kehadiran sekolah vernakular adalah hasil dari konflik antara keperluan dan kemahuan dalam membuat keputusan dan tuntutan.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my