Siri Wacana Cendekiawan ATMA: Konflik Identiti Diri, Kerakyatan & Negara Bangsa Dalam TN50

Sinopsis

Identiti diri, kerakyatan, dan negara bangsa adalah suatu yang kompleks dalam negara ini. Apakah identiti diri tidak boleh dipisahkan dari identiti kerakyatan dan identiti negara bangsa? Kalau dipisahkan apakah akan wujud ciri eksklusif dan bukan inklusif dalam identiti? Dari sudut definisi, konsep dan skop identiti ketiga-tiga elemen ini dalam konteks negara Malaysia masih keliru dan dikelirukan. Adakah ia bersandarkan kepada keturunan dan darah daging atau kumpulan etnik atau kad pengenalan diri?

Malaysia mempunyai sejarah yang unik dengan kepelbagaian kaum, bahasa dan agama. Bermula dengan penduduk dari pelbagai etnik di bawah rumpun Melayu, kehadiran penjajah Inggeris telah membawa masuk dua kelompok besar iaitu etnik China dan India ke dalam Alam Melayu di atas Pentas Sunda ini.

Identiti diri penduduk asal dari rumpun Melayu mungkin tidak banyak berubah, tetapi identiti diri etnik dari Pentas Yangtze dan Pentas India yang berhijrah ke Tanah Melayu (Malaya) di Pentas Sunda pastinya mempunyai identiti diri yang berubah mengikut zaman sebelum merdeka dan selepas merdeka atau identiti diri yang masih kekal sebagai “orang asing” atau “pendatang” dan berfikir akan pulang ke negara nenek moyang asal usul mereka. Identiti ini juga boleh jadi sudah berubah selepas berlangsungnya dua tiga generasi baru dari generasi pertama keluarga etnik ini. Dalam meniti kehidupan di negara ini, peluang kelangsungan (survival) di negara ini menuntut rakyat negara ini supaya mempunyai identiti yang jelas, padu, dan berintegriti dalam rangka Transformasi 2050.

Malangnya konflik identiti dalam diri rakyat menyukarkan proses pembangunan negara bangsa dan jati diri rakyat Malaysia. Isu kerakyatan dua negara, ketidakpuasan tentang hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, pembahagian kekayaan negara, sekolah jenis kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi persekutuan serta parti-parti politik berasaskan kaum dikatakan sebagai punca konflik identiti diri rakyat dalam negara ini. Persoalan paling asas yang harus dijawab oleh setiap orang rakyat di negara ini ialah “apakah setiap dari rakyat ini mempunyai pilihan untuk lahir di negara lain?” Apakah kalau mereka boleh pilih untuk lahir di negara lain, mereka tidak akan pilih Malaysia? Dan kalau mereka tidak ada pilihan dalam hidup ini kecuali lahir di Malaysia dan memegang MyKad, apakah mereka boleh tolak apa yang ada dalam Perlembagaan negara ini? Sejauh mana benarnya pemegang MyKad masih berkiblatkan negara nenek moyang mereka lagi atau negara lain seperti Taiwan, Singapura dan Amerika?

Apakah tidak berlaku konflik identiti diri, kerakyatan, dan negara bangsa dalam diri pemegang MyKad? Bagaimana pula dengan identiti pemegang MyKad yang baru menjadi rakyat Malaysia mahupun pemegang Kad Penduduk Tetap? Apakah mereka pernah dituntut mengikuti kursus tatanegara yang mendedahkan mereka kepada Perlembagaan negara, sistem pentadbiran negara, serta adab dan budaya di Malaysia ini sepertimana dilakukan oleh kerajaan Jerman dan negara lain?

Apakah identiti Melayu-Bumiputera menguntungkan kelompok ini, maka dengan itu perkahwinan campur akan menjadikan generasi seterusnya berstatus Bumiputera dan menikmati pelbagai kemudahan dalam negara? Apakah ini satu bentuk “peluang” sesetengah pihak yang cuba mencari identiti yang selamat untuk kelangsungan hidup di negara ini?

Seterusnya, bukankah kewujudan sekolah kebangsaan cina dan tamil dalam bahasa ibunda juga boleh mendorong kepada konflik diri, kerakyatan dan negara? Baru-baru ini tuntutan dari Dong Zong untuk menambah lagi sekolah kebangsaan cina turut menjadikan konflik identiti menjadi semakin parah. Benarkah begitu? Bagaimana pula dengan program dua bahasa (DLP) di sekolah yang membina dualisme dalam pendidikan dan mempengaruhi identiti diri dan negara bangsa dalam masyarakat kita? Apakah ini yang mahukan dalam membina generasi TN50?

Peristiwa 13 Mei 1969 dan rusuhan kaum di Kg Medan 2001 pastinya memberi kesan ke atas identiti diri mereka yang terlibat dan seluruh keluarga mereka khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Apakah pemahaman identiti diri, kerakyatan dan negara bangsa ini boleh diselaraskan atau diseragamkan selepas dua peristiwa ini? Apakah tidak ada api dalam sekam yang pada bila-bila masa boleh membesar dan membakar suasana perpaduan sekali lagi?

Bagaimana pula dengan kenyataan terbuka terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu dan kuasa Raja-Raja Melayu yang dibuat oleh sebahagian individu dan ahli politik yang menghina Raja-Raja Melayu sehingga adanya mencadangkan Malaysia harus menjadi negara republik seperti Singapura dan beberapa negara lain dengan menghapuskan sistem beraja. Bukankah Raja-Raja Melayu di Pentas Sunda adalah sebahagian dari pasak Alam Melayu yang wujud bersama tamadun bangsa? Bukankah ini satu konflik identiti diri rakyat, kerakyatan dan negara bangsa?

Keseluruhan konflik ini dilihat sebagai suatu yang belum selesai selepas 60 tahun negara kita merdeka. Kini rancangan TN50 telah digariskan. Apakah agaknya identiti diri, kerakyatan dan negara bangsa kita 30 tahun akan datang iaitu pada tahun 2050? Generasi Z dan generasi alfa akan memenuhi ruang dalam kependudukan negara, dan pastinya konflik yang belum selesai ini akan berterusan dalam proses mencapai objektif Transformasi 2050. Apakah pengisian yang harus dibuat dalam rancangan TN50 dari perspektif identity diri? Bagaimana lagi kita harus tangani masalah yang akan timbul dari konflik ini? Siapa yang bertanggungjawab?

Tujuan wacana ini ialah untuk mengupas isu konflik diri, kerakyatan dan negara bangsa yang dikatakan masih belum selesai. Manifestasi hasilan (outcome) dari konflik boleh dilihat dalam beberapa peristiwa hitam dan siri-siri kenyataan politik serta tindakan politik yang mempengaruhi identiti diri, kerakyatan dan negara bangsa. Mungkin isu negara bangsa masih jauh untuk dihayati kerana isu identiti diri masih belum ditangani dengan baik. Para ahli panel dalam wacana ini adalah para cendekiawan universiti yang akan mengupas dan berbahas mengenai persoalan yang dibangkitkan.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my