Siri Wacana Cendekiawan ATMA- Melayu di Filipina: Sejarah, Budaya & Warisan

Sinopsis

Filipina terdiri dari pulau-pulau yang berada di Pentas Sunda yang memenuhi ruang Malay Archipelago atau Melayu Nusantara. Sebelum adanya negara Filipinan, pulau-pulau di kawasan itu pernah diperintah oleh Melayu Islam. Kesultanan Sulu adalah dari rumpun Melayu yang menerima Islam sekitar tahun 1380 hasil usaha pendakwah Arab yang menetap di Melaka tiba di Sulu. Kesultanan Brunei juga mempunyai pengaruh ke atas Filipina apabila mengasaskan Kesultanan Amanillah di utara Filipina setelah menewaskan kerajaan Tondo. Nama Manila adalah berasal dari perkataan Amanillah. Pada abad ke 15, Islam diperkenalkan di pulau Mindanao dan ditubuhkan Kesultanan Maguindanao. Pada tahun 1521, Ferdinand Magellan seorang penjelajah Portugis yang bekerja untuk Raja Sepanyol tiba di Filipina. Dengan pengaruh Magellan yang kuat beragama Kristian Katolik, Raja Humabon bersama pengikutnya bersetuju untuk dibaptis. Ketika perang, Ferdinand Magellan dibunuh oleh Datu Lapu-Lapu lalu saki baki tentera itu lari ke Sepanyol bagi menyiapkan angkatan perang baru. Orang Sepanyol mula memanggil semua gugusan pulau itu sebagai Filipina bersempena nama Raja Sepanyol Phillip II. Usaha Sepanyol dalam misi Gold, Glory and Gospel diteruskan dengan beberapa lagi misi dihantar ke Filipina. Pada tahun 1565, Miguel Lopez de Legazpi tiba di Cebu. Cebu yang telah dikristiankan menyambut baik kehadiran Legazpi lalu dijadikan pusat pemerintahan penjajah Sepanyol.

Legazpi ingin meruntuhkan Kesultanan Amanillah. Pemerintah Kesultanan Amanillah iaitu Raja Sulaiman tewas pada tahun 1574. Kekalahan ini menyebabkan pengaruh Empayar Brunei menguncup. Kesultanan Sulu pula mula mengembang hingga ke Sabah dan sebahagian Indonesia sebagai respon kejatuhan Empayar Brunei. Pada tahun 1658, Sultan Brunei menyerahkan Sabah kepada Sultan Sulu atas jasa kerajaan tersebut membendung perang saudara yang meletus di Brunei pada ketika itu.

Kesultanan Amanillah yang strategik itu ditukar nama menjadi Manla dan dijadikan pusat pemerintahan “Spanish East Indies”. Segelintir warga tempatan melarikan diri ke selatan Filipina iaitu wilayah Mindanao untuk selamatkan akidah mereka. Ini benteng terakhir orang Muslim dalam memerangi Sepanyol. Orang Sepanyol menggelar mereka sebagai bangsa Moro bersempena nama Moors iaitu kaum Islam di Andalusia dulu. Kini Bangsa Moro berada di sekitar Mindanao, Sulu dan Palawan. Bangsa Moro berusaha untuk memisahkan wilayah mereka dari pemerintahan kristian Filipina.

Sepanyol pula ingin melebarkan penguasaan mereka hingga ke wilayah Mindanao di selatan Filipina. Namun Sepanyol tidak pernah berjaya menjajah wilayah Mindanao. Oleh itu, Sepanyol menggunakan jalan selamat untuk tidak menggunakan tentera barat sendiri di barisan hadapan sebaliknya menghantar warga Filipina sendiri yang telah dikristiankan untuk memerangi saudara mereka di Mindanao yang belum dikristiankan. Saudara sebangsa warga Mindanao yang dimurtadkan di sebelah utara itu ramai berkahwin campur dengan orang Sepanyol dan hidup ala barat kristian. Begitulah sedikit latar belakang sejarah Melayu di Filipina.

Wacana ini bertujuan untuk memahami sejarah, budaya dan warisan Melayu di Filipina. Dengan perkembangan terkini dimana Presiden Filipina yang baru mencadangkan agar nama Filipina ditukar kepada Maharlika, Presiden dari Bangsa Moro ini akan membawa satu perubahan besar ke atas Filipina dan kesannya ke atas Nusantara Melayu. Rodrigo Duterte mahukan rakyat Filipina kembali kepada akar dan asal usul sejarah serta identiti rakyat mereka. Dua ahli panel telah dijemput untuk mengupas apa yang berlaku di Filipina dan peranan mereka dalam membantu kerajaan Filipina membina keamanan dan keharmonian di Filipina.

 

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my