Siri Wacana Cendekiawan ATMA- Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera: Antara Etos & Pathos

 

Sinopsis

Etos dan pathos Melayu adalah faktor yang membina imej kewibawaan, keterampilan, dan nilai-nilai kekuatan etnik Melayu, yang juga disebut sebagai Akal Budi Melayu. Ia berdasarkan kepada falsafah, agama, sejarah, pemikiran, sikap atau gelagat, emosi dan gaya hidup orang Melayu. Etos dan pathos Melayu tidak harus diukur selepas Merdeka tetapi harus dilihat pada akar umbinya sejak abad ke 2 lagi, dan khususnya selepas abad ke 7 di zaman permulaan kebangkitan bangsa Melayu yang dipimpin oleh Islam di Nusantara Melayu ini. Perubahan minda, etos dan pathos orang berlaku secara berperingkat selepas negara di jajah dan hinggalah selepas Malaysia merdeka.

Allahyarham Tun Razak ketika melancar buku Revolusi Mental hasil kerja Senu Abdul Rahman selaku Ketua Pemuda UMNO serta 11 penulis termasuk Pak Lah (Tun Adullah Ahmad Badawi) pada tahun 1970 berkata: “kemunduran daya pemikiran mereka yang berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan dikongkong oleh hidup yang kolot”. Tun Mahathir pula dalam Ucapan Presiden metabolism PAU 2002,  Belfast berkata “orang Melayu harus baca semula Revolusi Mental….orang  Melayu mudah lupa!” Mohammed Mohd Taib, mantan Menteri Besar Selangor, pula dalam melancar sebuah seminar di Shah Alam pada tahun 1990  dengan tema memupuk Melayu Baru MB1.0. Kesemua usaha ini berlaku selepas 45 tahun pelaksanaan DEB hanya mampu mengeluarkan Melayu kleptokrat dan rent seekers. Dalam pada  itu Syed Tawfik Ali Al Attas menolak MB1.0 dan menganjur kita kembali kepada “Hikmah Melayu” yang asal iaitu berhemah, sopan, toleran, suka bertolak ansur, berbudi bahasa dan cerdik. Kini, kerajaan Pakatan Harapan pula melancar Melayu Baru 2.0 (MB2.0) dengan menagih MB1.0 bersama nilai etika dan moral! Jadi ke mana arah hulu kita? Apakah etos dan pathos Melayu yang dulu sudah musnah?

Banyak pendapat menyatakan buku “Revolusi Mental” ditujukan khas kepada Pemuda UMNO. Walaupun terdapat banyak pihak menolak kepada Revolusi Mental dalam UMNO, sebahagian daripada tulisan ini ada kebenarannya. Tetapi ungkapan itu dianggap sebagai satu yang tidak wajar.  Kalau dikatakan Melayu itu malas, Melayu suka bergantung pada pemerintah, Melayu ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan, dan seumpamanya, hakikatnya etnik lain juga mempunyai ciri-ciri yang sama. Bukankah ia satu yang universal dalam semua etnik dan bukan Melayu sahaja?

Syed Hussien Al Atas dala bukunya the Myth of Lazy Native menafikan tohmahan barat dan pemikiran orang yang pernah dijajah bahawa orang Melayu tidak malas dengan penjelasan panjang lebar dan mendalam.  Ungkapan yang menghina Melayu ini cuba membentuk pemikiran atau mental orang Melayu. Mengapa dan bila berlaku?  Ia berlaku selepas penjajahan ke atas Tanah Melayu. Etos dan pathos Melayu cuba diberikan gambaran buruk selepas merdeka dan hingga hari ini.

Jika kita mengimbas sejarah tamadun orang Melayu di Nusantara sejak dari abad ke 7 hingga abad ke 14, apa yang ditonjolkan oleh penjajah mengenai Melayu adalah tidak benar.  Tetapi inilah satu bentuk fahaman post-kolonialisme yang kemudian diwarisi oleh orang Melayu selepas penjajah meninggalkan tanah air bahawa orang Melayu tidak pandai memerintah, tidak cekap berekonomi, tidak pandai menyimpan duit, suka bergantung kepada pemerintah, orang lain yang bukan Melayu adalah lebih baik dan lebih berjaya dari orang Melayu, dan sebagainya. Apakah ini satu bentuk syndrome of the captive mind yang pernah dipopularkan oleh Syed Hussien Al Atas?

Akibat pemikiran begini, orang Melayu merasa ada inferiority complex dalam diri mereka, seolah-olah apa yang ada pada etnik Melayu tidak elok, apa yang ada dalam negara tidak elok, sebaliknya orang luar lebih baik, apa sahaja dari barat adalah baik. Maka wajarlah kalau pemikiran ini perlu dirombak. Atau apakah pemikiran orang bukan Melayu yang perlu dirombak? Atau pemikiran pemimpin yang perlu dirombak? Inilah antara persoalan yang akan dibahas dan dikupas oleh para ahli panel dalam wacana ini. Pengalaman dan penglibatan ahli panel di pelbagai peringkat termasuk antaranya dalam parti politik, golongan pembuat polisi, dunia perniagaan, dunia akademik, dan aktivis masyarakat untuk berbahas tentang tajuk yang diberikan.

Adalah diharapkan Wacana kali ini dapat mencabar minda masa kini dan membuka minda orang ramai, sama ada Melayu atau bukan Melayu, serta mencetuskan idea baru dalam menentukan corak dan hala tuju Malaysia 30-40 tahun akan datang. Malah etos dan pathos Melayu ini juga harus dilihat bukan sahaja dalam konteks negara Malaysia sahaja tetapi dalam konteks Alam Melayu yang lebih luas dari sempadan tanah air.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Mel-e: pghatma@ukm.edu.my