Wacana Cendekiawan ATMA Kesarjanaan Rusia dan Pengajian Alam Melayu


Sinopsis:

Bahasa Melayu bukan lagi asing kepada masyarakat Rusia selepas Perang Dunia ke 2. Terdapat kursus Pengajian Bahasa Melayu telah ditawarkan di dua institusi di Moscow iaitu Institut Pengajian Negara-negara Asia dan Afrika dan Institute of Applied Oriental Studies, Moscow States University (MSU) sejak 1970an lagi. Sepanjang tempoh 20 tahun, Pengajian Bahasa Melayu ternyata mendapat sambutan masyarakat Rusia dengan tertubuhnya Persatuan Nusantara (PN) di Rusia pada tahun 1990.

Terdapat banyak buku-buku yang ditulis oleh warga Rusia dalam bahasa Melayu misalnya Boris Parnickel, yang menghasilkan buku “Pengantar Sastera Nusantara Kurun IX-XIX (1980), Aleksandr Ogloblin – Tipologi Diakronik Bahasa-bahasa Melayu-Jawa (1996), Natalia Alieva – Bahasa Cam (1999). Ada puluhan rencana mengenai budaya dan bahasa Melayu yang diterbitkan dalam berbagai majalah di Rusia. Di samping itu, terdapat banyak karya klasik Melayu dan karya penulis-penulis Malaysia diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia. Antaranya Hikayat Hang Tuah (B. B. Parnickel, 1984), cerpen oleh Usman Awang dan Samad Ismail (B. B. Parnickel, 1962), Cerpen Usman Awang (T.V. Dorofeeva, 1984). Beberapa bagian dari buku Prof. Dr. Victor Feodorovich Sychev berbahasa Rusia ke bahasa Indonesia berjudul: Islam Indonesia di Mata Orientalis Rusia (Wan Jamaluddin, 2009). Koleksi buku-buku berbahasa Melayu (Indonesia) masih banyak tersimpan di Bibliothik Lenin di Moscow dan juga di Saints Petersburg.

Agak menarik perhatian dunia Melayu apabila Olga dari Rusia pernah menjuarai Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Piala Timbalan Perdana Menteri, 16 Mac 2007 di PWTC, Kuala Lumpur. Olga Vadimovna Vasilevskaya 20 tahun, bekas penuntut jurusan sejarah Malaysia di Institute of Applied Oriental Studies, Moscow State University, Rusia. Olga telah mempelajari bahasa Melayu di bawah bimbingan pensyarah Rusia, Dr. Tatyana Valerianovna Dorofeeva dan Dr. Evgeniya Sergeevna Kukushkina.

Kita telah banyak membaca penulisan Bristish mengenai Melayu, bahasa Melayu, budaya Melayu dan Alam Melayu tetapi kita tidak banyak mendapat maklumat mengenai penulisan kesarjanaan Rusia mengenai Alam Melayu. Wacana ini memperkenalkan ahli panel Dr. Irina R. Katkova dari Department of Asian and African Studies of St.Petersburg State University (kepakaran dalam bidang Indonesian, History of Indonesia, Sufi Literature) bagi berkongsi hasil kerja ilmiah beliau mengenai Alam Melayu. Antara penerbitan beliau ialah monograf History of Sufism in Indonesia in the 18th century dan Sufi Saints of Sumatera (2009). Manakala ahli panel Prof Wan Jamaluddin adalah Guru Besar Fakultas Tarbiyah dan Keguruan UIN Raden Intan, Lampung, Indonesia. Prof Wan Jamaludin adalah graduan PhD. Dalam bidang History of Islam in Southeast Asian dari Department of History of Middle-East and Near-East Countries, Faculty for Oriental Studies, Saint Petersburg State University. Beliau juga merupakan Sekretaris Jenderal Perhimpunan Mahasiswa Indonesia di Rusia (PERMIRA) 2001-2003 dan Pengurus Pusat Perhimpunan Persahabatan Indonesia-Rusia 2005 hingga kini. Ahli penal ketiga ialah mantan Profesor di ATMA UKM, Dr Noriah Mohamed, yang mempunyai hubungan rapat dengan ahli akademik Rusia dalam bidang Pengajian Alam Melayu. Beliau sering dijemput membentang kertas kerja di Rusia dan menjalankan pelbagai kursus bahasa Melayu di Rusia. Keitga-tiga ahli panel ini akan memperkatakan kesarjanaan Rusia dalam pengajian Melayu daripada perpsektif masing-masing, baik sebagai orang Rusia atau orang bukan Rusia.

Wacana ini diharapkan dapat menyambung semula jaringan antara ATMA UKM dengan institusi pendidikan dan penyelidikan di Rusia melalui jalinan MOU dan MOA.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my