Pengajian di Alam Melayu Dari Tradisi Manuskrip ke Maklumat Digital
Butiran
Pengarang | : Ding Choo Ming |
Penerbit | : Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) |
Tahun | : 2009 |
Jumlah Halaman | : |
Rujukan/Muat Turun | : Klik di sini |
Ringkasan
Pengajian Melayu kini bukan lagi sekadar mengkaji hal ehwal orang Melayu setelah lama dijajah dan dipisah-pisahkan penjajah Eropah, tetapi juga hal ehwal orang bukan Melayu di Alam Melayu. Pengembangan orbit pengajian itu bukan sahaja sesuai dengan perkembangan sejarah masa lampau, tetapi juga sasaran pembangunan sosioekonomi dan politik kesemua suku kaum di Alam Melayu dalam menghadapi era globalisasi. Pengajian itu boleh juga dimulakan dengan mengkaji akal budi peribumi Melayu yang terkandung dalam manuskrip Melayu. Minat yang menurun terhadapnya masa kini tidak bermakna ia sudah tidak penting dan sesuai lagi, tetapi adalah yang sebaliknya.
Selain untuk menafsir semula tanggapan sarjana Eropah dahulu, banyak mutiara baru bakal ditemui dengan melibatkan banyak disiplin lain. Pendekatan baru itu sesuai dengan sifat dan isi kandungan kebanyakan manuskrip Melayu yang meliputi keanekaragaman bidang dan ilmu. Sebahagian perkembangan itu telah diperkatakan dalam lima belas buah rencana dalam buku ini. Kiranya ada rencana memperkatakan keseronokan generasi muda di ruang maya, terdapat juga rencana lain yang memperkatakan pengarangan hikayat yang bersentrikkan raja-raja Melayu di tangan pengarang istana dalam masyarakat feudal Melayu sebelum abad ke-19 itu berbeza daripada isi hikayat daripada pengarang wanita Melayu yang menggunakan penulisan lebih sebagai senjata untuk meluahkan keindividualannya dalam masyarakat Melayu yang sudah dimasuki pengaruh kebebasan individu dan demokrasi di pinggir abad 19. Namun, dalam Hikayat Abdullah, Abdullah Munsyi mengatakan bahawa orang Melayu boleh membaiki hidup dengan mempelajari bahasa Melayu dan kemahiran lain. Memandangkan ilmu adalah sumber baru kuasa dan kekayaan di era ilmu dan maklumat mulai abad ke-21, maka dalam buku ini terdapat rencana yang memperkatakan projek pembangunan portal www.Malaycivilization.com dan juga pentingnya pendigitasian sumber maklumat di alam Melayu.
ISBN : 978-983-2457-10-7