Dua Mahasiswa FSSK UKM Terpilih Ke Program Mobiliti Pelajar di Soka University

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Program pertukaran pelajar antarabangsa semakin menjadi pilihan utama mahasiswa di Malaysia untuk memperkaya pengalaman pembelajaran mereka. Bagi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di seluruh dunia telah membuka lebih banyak peluang kepada para pelajarnya untuk menimba ilmu dan pengalaman di luar negara. Hasil daripada jaringan dan kerjasama antarabangsa, telah memperlihatkan dua orang mahasiswa program Sains Politik, Muhammad Faiz Bin Abd Latiff dan Nuryusma Athirah Binti Yusri Amir telah terpilih untuk menjalani program mobiliti pelajar di Soka University, Jepun. Program yang akan berlangsung selama satu semester ini bukan sahaja menjadi platform untuk kedua-dua pelajar ini mendalami sistem politik Asia Timur, malah turut memberi peluang kepada mereka untuk memahami dinamika sosiobudaya masyarakat Jepun yang terkenal dengan keunikan tradisi dan kemajuan teknologinya.

Kedua-dua pelajar tahun tiga ini telah memenuhi syarat-syarat pemilihan yang ditetapkan, termasuk memiliki Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang cemerlang dan aktif dalam aktiviti di peringkat fakulti dan kolej. Faiz yang berminat untuk membina rangkaian hubungan di Jepun, turut menyimpan hasrat untuk merasai pengalaman unik menyambut Hari Raya Aidilfitri di negara matahari terbit itu. Sementara itu, Nuryusma Athirah yang telah mengambil kursus bahasa Jepun di FSSK, melihat ini sebagai peluang keemasan untuk mengasah kemahiran bahasanya di samping memperkenalkan keindahan budaya Malaysia kepada masyarakat Jepun.

Program yang berlangsung selama empat bulan bermula 24 Mac 2025 hingga awal Julai 2025 ini memberi kelebihan kepada kedua-dua pelajar apabila Soka University menyediakan penginapan dan yuran pembelajaran secara percuma. Dalam persediaan menghadapi cabaran kehidupan di negara asing, Faiz telah mengambil inisiatif mempelajari budaya Jepun, manakala Nuryusma Athirah pula mempersiapkan diri dengan membawa baju tradisional Malaysia seperti baju kurung dan buku rujukan bahasa Jepun sebagai ‘bekalan’ ke sana.

Meskipun menjangkakan beberapa cabaran seperti penyesuaian dengan makanan tempatan, persekitaran sosial yang berbeza dan cuaca yang berlainan dengan Malaysia, kedua-dua pelajar ini tetap bersemangat untuk menempuh pengalaman baharu ini. Mereka melihat program pertukaran ini sebagai satu platform berharga untuk meningkatkan kemahiran insaniah dan membina asas yang kukuh untuk pembangunan kerjaya masa hadapan. Program ini bukan sahaja menjadi medan untuk mereka menimba ilmu, malah turut menjadi jambatan budaya yang menghubungkan dua negara serumpun Asia – Malaysia dan Jepun.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »