10 Tahun di UKM, Mariam Masuan Berbakti Kepada Universiti

Oleh Dina Haziqah
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 23 November 2024 — Sepanjang sedekad di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mariam Masuan telah menabur bakti dengan membuat pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada universiti dan komuniti mahasiswa.

Anak jati kelahiran Johor ini telah memulakan perjalanannya di UKM pada tahun 2013 ketika menyertai kem Pemilihan Akhir Pusat PERMATA@Pintar Negara.

Kemudian, beliau secara rasmi menjadi pelajar UKM pada tahun 2014 dan telah meneruskan pengajian dalam program Asasi Pintar sehingga tamat pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM).

Pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari Kehormat Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM), Mariam mewujudkan sistem permohonan dana dalam talian, sekaligus mengurangkan kesukaran proses permohonan dana secara fizikal.

“Saya memahami kesulitan pelajar yang terpaksa menghantar dokumen manual.

“Sistem ini bertujuan memudahkan mereka dan meningkatkan kecekapan proses permohonan dana,” jelas Mariam.

Selain itu, buku panduan lengkap dana KMUKM yang ditulisnya turut menjadi rujukan universiti lain di Malaysia.

“Buku ini memudahkan pelajar memahami proses dari A hingga Z dan meningkatkan kadar tuntutan dana daripada RM400,000 kepada RM650,000,” tambah beliau.

Mariam juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap KMUKM melalui inisiatif seperti surat ‘Aku Janji’ yang memastikan setiap program yang menerima dana KMUKM memaparkan logo kesatuan tersebut.

“Langkah ini penting supaya pelajar lebih peka dan tahu tentang kewujudan serta peranan KMUKM sekaligus dapat meningkatkan visibility kesatuan ini,” kata Mariam.

Ketika ditanya mengenai cabaran sebagai pemimpin, Mariam mengakui bahawa beliau pernah menerima pelbagai kritikan.

“Cabaran terbesar adalah menghadapi kecaman. Namun, orang-orang yang menyokong saya seperti mak dan ayah buat saya lebih kuat dan saya tak nak kecewakan mereka,” katanya.

Walaupun telah berjaya menamatkan pengajian, Mariam berharap dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu meneruskan legasi kepimpinan di UKM.

Dengan bakti yang dicurahkan oleh Mariam kepada UKM, dan memperoleh keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan telah melayakkannya meraih Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-52.

Leave a Reply