Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 6 November 2023 – Seramai 1,000 mahasiswa anak Selangor yang menuntut di insitutsi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menerima e-baucar buku Kita Selangor bernilai RM200 dengan peruntukan keseluruhan RM200,000.
Bantuan e-baucar mahasiswa buku Kita Selangor ini dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, objektif utama inisiatif ini dilaksanakan adalah untuk meneruskan aspirasi pembinaan sahsiah dan keilmuan mahasiswa melalui pembacaan.
Tambahnya, bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban mahasiswa golongan bersasar dan asnaf untuk membeli bahan bacaan pengajian sekaligus memupuk minat mahasiswa untuk membaca buku-buku ilmiah.
“Mahasiswa yang menepati kriteria sebagai golongan sasaran serta asnaf akan layak menerima e-baucar buku bernilai RM200 seorang.
“Melalui inisiatif ini, mahasiswa tersebut berpeluang untuk membeli buku ilmiah secara digital melalui penebusan e-baucar di platform Perbadanan Kota Buku, sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya ketika menyempurnakan Tekad Pendidikan Kita Selangor: Penyerahan e-Baucar Buku Mahasiswa 2023 di Persada Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurutnya, penebusan e-baucar adalah terhad sehingga 31 Disember 2023 justeru, beliau berharap agar para mahasiswa dapat memanfaatkan peluang ini sebelum akhir tahun ini.
“Semoga bantuan e-baucar ini menjadi pemangkin semangat agar mahasiswa yang terpilih dapat terus berjuang menuntut ilmu dan menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang seterusnya menjadi insan terbilang, insyaAllah,” jelasnya.