1,205 Pelatih Kor SUKSIS Sertai Perkhidmatan PDRM Sejak Tahun 2004

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi

BANGI, 7 September 2024 – Seramai 1,205 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS) telah menyertai perkhidmatan Polis Diraja Malaysia sejak 20 tahun yang lalu, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada tahun 2002, seramai 19,072 pelatih telah berjaya menamatkan latihan dan menerima Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS.

“Jika dilihat, jumlah itu tidak terlalu banyak berbanding dengan pelatih yang dilahirkan tetapi setiap pelatih yang memohon untuk memasuki perkhidmatan PDRM (Polis Diraja Malaysia), mereka mempunyai keutamaan untuk dipilih.

“Mereka telah mempunyai asas PDRM. Sepanjang tiga tahun mereka menyertai Kor SUKSIS, semua kursus atau program latihan yang mereka ikuti di institusi masing-masing seperti asas latihan kadet inspektor yang tetap iaitu kawad, senjata api, latihan undang-undang, latihan Pasukan Gerakan Am, dan teknik pengendalian peralatan dan senjata yang digunakan  dalam PDRM telah mereka belajar.

“Semua ini sudah tentulah latihan ini memantapkan mereka,” katanya kepada media semasa Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS) Kali Ke-20 Tahun 2024, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Canselor, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Hj Toriman; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM), CP Dato’ Wan Hassan Wan Ahmad; Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan dan Komandan Kor SUKSIS UKM, ACP/KS Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil. 

Beliau berkata sekiranya pelatih berminat untuk menyertai kadet inspektor pada masa hadapan, mereka telah mempunyai asas untuk sertai PDRM, dan itu menjadi kelebihan untuk mereka sertai kadet inspektor.

“Kita akan memberikan keutamaan kepada Kor SUKSIS jika mereka memohon untuk menjadi kadet inspektor kerana mereka telah mempunyai asas.

“Sama juga formatnya dalam PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan). Mereka juga akan diberi keutamaan sekiranya menyertai ATM (Angkatan Tentera Malasyia),” ujar beliau.

Pada majlis ini, seramai 804 pelatih daripada 17 buah Universiti Awam (UA) ditauliahkan. Semua pelatih ini berkampung di UKM selama dua minggu bagi menjalani latihan sebelum Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS ini diadakan.

Selaku tuan rumah, penganjuran majlis ini amat bermakna buat UKM, bukan hanya sebagai tanda kejayaan para pelatih, tetapi juga sebagai lambang dedikasi, usaha gigih, dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan sepanjang tempoh tahun tahun latihan. Ia adalah bukti bahawa segala usaha dan pengorbanan pelatih selama ini telah membuahkan hasil.

Kor SUKSIS merupakan salah satu program mencari bakat PDRM dari kalangan penuntut universiti.

Leave a Reply