Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 18 Julai 2023 – Seramai 186 warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai program Jelajah Alam Taman Ilmu (JATI), yang diadakan bagi mendokong usaha ke arah matlamat pembangunan lestari (SDG).
Program berjalan kaki itu dimulakan dengan lawatan dan perasmian Taman Ilmu oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, yang terletak di aras tiga, bangunan Canselori, dan berakhir di Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL).
Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah dalam ucapan perasmian penutup berakata, beliau tidak terfikir bagaimana sebuah taman boleh diwujudkan dengan panorama kehijauan hanya beralaskan sebuah lantai konkrit di bangunan Canselori.
“Inilah yang dinamakan inovasi dan pemikiran aras tinggi yang kita perlukan dalam mendokong SDG. Saya difahamkan bahawa inisiatif ini bertepatan dan sejajar dengan SDG dua iaitu Sifar Kelaparan, SDG 12 – Penggunaan dan Penghasilan yang bertanggungjawab dan SDG 15 – Kehidupan darat,” katanya.
Beliau juga turut mencabar pusat tanggungjawab (ptj) yang lain untuk mencari idea dalam menwujudkan taman yang seumpama dengan itu agar pembudayaan kelestarian dapat dibudayakan dengan lebih meluas lagi di UKM.
“Saya yakin, setiap ptj sudah tentu mempunyai ruang yang tersendiri dibahagian bangunan mereka yang boleh dimanfaatkan sebagai ruang untuk Taman Ilmu masing-masing,” katanya.
Tambah Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah, pembudayaan itu bukan hanya dapat melestarikan alam sekitar, tetapi dapat mengeratkan lagi hubungan silaraturrahim antara warga UKM kerana tanaman yang dihasilkan memerlukan penyelenggaran yang berterusan dari proses semaian, penjagaan harian dan pembinaan landskap.
“Maka, apabila hasil taman ini dapat dilihat, maka akan terzahirlah satu kepuasan dalam diri masing-masing dan secara tidak langsung akan menjadi salah satu daripada proses pengurusan stress yang semula jadi sifatnya,” ujar beliau.
Pada majlis itu juga beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang program Sustain Your Steps. Program itu telah berlangsung pada 10 April 2023 sehingga 7 Mei 2023.
Program JATI itu diadakan dengan kerjasama antara Bersama antara Pusat Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Pusat Alumni UKM, Pusat Karier UKM, Kelab Myagrosis UKM dan Kelab Rakan Taman a.