20 Pelajar UKM Sertai Eksplorasi Budaya di Universiti Chulalongkorn, Thailand

Oleh  Keh Jing Yun dan Saw Zi Xuan
Foto Dhia Emylia, Siti Nurul Iman, Harissa Amiera

BANGKOK (Thailand), 7 Ogos 2024 – Seramai 20 orang pelajar dari Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyertai  Program Mobiliti Antarabangsa Ke Universiti Chulalongkorn, Thailand, bagi menjayakan agenda Kolej Akademia UKM sekali gus menjadi program yang meraikan sinergi kolej kediaman dan fakulti dalam pembangunan kemahiran insaniah pelajar.

Program yang bertemakan Break Barriers, Exchange Cultures yang juga dikenali sebagai Syed Nasir Cross-Cultural Odyssey of Nurturing Exchange (Syed Nasir CONNECTS) mendapat kerjasama daripada Fakulti Sains Kesihatan (FSK), merupakan aktiviti pertama sempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan KTSN.

Pengetua KTSN, Prof Madya Dr Mohd Razif Shahril berkata program mobiliti ini diadakan bagi meningkatkan kebolehpasaran serta kemahiran kepimpinan para pelajar.

“Ini merupakan kali kedua Kolej Tun Syed Nasir mengadakan program Syed Nasir CONNECTS, dan ini adalah satu usaha kami untuk melahirkan mahasiswa yang beraspirasi kebangsaan, kompeten, berdaya saing, dan inovatif. Ia juga merupakan program mobiliti yang dapat menjalinkan hubungan baik di antara dua universiti,” katanya.

Menurut salah seorang peserta program, Saw Zi Xuan, program mobiliti itu telah memperluaskan perspektif terhadap kepelbagaian budaya sekaligus memperkukuhkan peranan dia sebagai seorang mahasiswa yang bakal menerajui negara.

“Ini selaras dengan visi UKM dalam membentuk mahasiswa dinamik, berilmu dan terkehadapan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Thidarat Promjabok, dari Universiti Chulalongkorn pula berpendapat bahawa program pertukaran budaya itu telah mengeratkan hubungan pelajar antara dua universiti.

“Melalui program ini, saya menemui keindahan persamaan dan perbezaan budaya antara dua negara,” ujar beliau.

Program Syed Nasir CONNECTS diadakan bagi melahirkan pelajar yang berjiwa global sekaligus memenuhi moto UKM iaitu Ilmu, Mutu dan Budi.

Program lima hari itu diisi padat dengan pelbagai aktiviti yang memberi peluang pertukaran budaya di antara pelajar Malaysia dan Thailand. Antaranya adalah eksplorasi seni kebudayaan, makanan tradisi, pakaian tradisi, bahasa dan senibina.

Pada tahun ini, delegasi UKM turut melawat pejabat United Nation serantau iaitu The Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP) yang merupakan hub yang berfokus untuk menggalakkan pembangunan lestari (SDG) dan pengurusan sumber di rantau Asia-Pasifik.

Program Syed Nasir CONNECTS telah disempurnakan oleh Penolong Dekan, Fakulti Sains, Universiti Chulalongkorn, Dr. Panupong Thammachoti.

Leave a Reply