Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 11 Ogos 2023 – Seramai 232 orang atlet Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal berjuang di Kejohanan Karnival Sukan MASUM 2023 yang akan berlangsung dalam dua fasa.
Fasa pertama akan bermula pada 15 hingga 22 Ogos 2023 di Universiti Sains Islam Malaysia, manakala fasa kedua akan berlangsung pada 23 hingga 30 Ogos di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka.
Atlet-atlet ini akan diiringi oleh 30 orang pegawai pasukan bagi memberi saingan dalam 13 acara sukan dalam menggalas cabaran UKM.
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, merangkap Ketua Kontinjen UKM, Prof. Madya Dr. Mohd Suzereen Mohd Jamil berkata atlet UKM telah membuktikan kejayaan dan keunggulan di beberapa kejohanan sukan terdahulu sepanjang awal tahun 2022 dan 2023 seperti SUKIPT, Asean University Games di Thailand dan baru-baru ini, atlet UKM menyinar di Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China.
“Syabas diucapkan kepada atlet UKM yang berjaya mewakili Malaysia di Sukan Universiti Dunia sekaligus menyumbang pingat untuk kontinjen Malaysia.
“Buat para atlet yang akan berjuang, bertandinglah dan berjuanglah dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi, serlahkan segala keupayaan dengan bakat yang dikurniakan.
“Anda perlulah sentiasa mengekalkan disiplin dan integriti yang tinggi dalam acara yang disertai, selaim menyematkan di dalam hati, imej dan nama UKM yang perlu dijulang,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UKM Kejohanan Karnival Sukan MASUM 2023, di sini.
Dalam ucapan itu, beliau juga mengingatkan para atlet agar meningkatkan persefahaman serta jalinan setiakawan dalam kalangan atlet UKM dan atlet dari IPT yang bertanding dan sentiasa menjadikan sukan sebagai inspirasi dan aspirasi untuk lebih cemerlang dalam aspek kebolehpasaran atlet. Karnival Sukan MASUM kali ini merupakan kejohanan bersemuka berskala besar yang kembali membuka tirai selepas era pandemik Covid 19.