Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 13 September 2023 – Seramai 242 pelajar dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Jepun membentangkan tajuk penyelidikan yang melibatkan bidang sains tulen, sains fizikal, sains sosial dan sain komputer di International Future Scientist Conference 2023 (iFSC 2023) yang diadakan bermula 12 hingga 14 September 2023 di Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pemilihan tema “Global Challenges, Local Solutions” bermaksud peserta persidangan menyedari masalah mendesak yang dihadapi dunia, dan keperluan untuk mencari penyelesaian yang kreatif dan mampan dalam komuniti setempat
Persidangan yang telah memasuki edisi ke-12 itu mengetengahkan ilmu dan idea penyelidikan yang terkini melalui pembentangan oleh para peserta dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh pakar-pakar dalam bidang penyelidikan.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata iFSC adalah platform utama untuk memberi inspirasi kepada penyelidik muda dalam berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang pelbagai, meningkatkan keupayaan membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian.
“Dengan tema persidangan ini, ia sangat bersesuaian dengan keadaan semasa iaitu kita menghadapi pelbagai cabaran kompleks yang merentasi sempadan dan mempengaruhi kita semua.
“Jadi, saya harap persidangan ini akan menjadi pemangkin untuk memupuk semangat pelajar untuk membuat penyelidikan akademik di samping menggalakkan peluang untuk bekerjasama dengan rakan strategik yang berpotensi,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian persidangan tersebut.
Beliau juga berharap agar iFSC akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan menjadi tempat penyelidik muda berkumpul, selain mewujudkan rangkaian rakan dan mentor yang berpengalaman dalam kerjaya akademik.
iFSC 2023 melibatkan pelajar-pelajar ari Kolej PERMATA@Pintar Negara, pelajar sekolah tempatan dan pelajar antarabangsa. 11 penyertaan melibatkan pelajar dari enam buah Sekolah Berasrama Penuh dan sembilan penyertaan antarabangsa melibatkan sekolah dari Indonesia, Thailand dan Jepun.