Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 3 September 2024 – Seramai 244 orang atlet dan 35 orang pegawai pasukan bagi 21 acara sukan akan menggalas cabaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 yang bakal berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 6 hingga 14 September 2024 ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni merangkap Ketua Kontinjen UKM, Prof. Madya Dr. Mohd Suzereen Mohd Jamil telah meluangkan masa bagi menyerahkan bendera kontinjen UKM kepada semua pasukan yang bakal bertanding, di Panggung Seni, semalam.
Dalam ucapannya, beliau telah menitipkan kata-kata semangat kepada semua atlet agar berjuang bersungguh-sungguh dan menjaga nama baik UKM.
“Saya berharap agar atlet-atlet UKM dapat membuktikan kejayaan dan keunggulan dalam SUKIPT 2024, seterusnya menjulang nama UKM seperti yang telah dicapai oleh beberapa atlet kita di beberapa kejohanan terdahulu seperti sukan MASUM, Kejohanan Olahraga IPT, Sukan Malaysia (SUKMA) dan yang terbaru Asean University Games di Surabaya, Indonesia yang menampilkan kehebatan atlet UKM kerana berjaya menyumbang satu emas , enam perak dan satu gangsa untuk kontinjen Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UKM ke SUKIPT 2024, di sini.
Beliau berharap agar dengan kejayaan yang dilakar oleh atlet-atlet kebanggaan UKM itu akan menjadi nilai tambah serta motivasi untuk kontinjen UKM lebih berdaya saing di kejohanan SUKIPT nanti.
“Ucapan jutaan terima kasih buat semua pegawai dan kakitangan Pusat Sukan UKM di atas kesungguhan dalam pembangunan dan penyediaan atlet UKM untuk kecemerlangan aktiviti sukan tanah air.
“Komitmen dan sokongan anda semua merupakan penyumbang utama dalam kelancaran penyertaan kejohanan yang berprestij ini,” katanya.
Sebanyak 21 acara sukan yang digalas oleh pasukan UKM iaitu Bola Sepak, Futsal, Tenis, Catur, Hoki (Lelaki & Wanita), Rugbi, Taekwando, Softball (Lelaki), Ping Pong, Badminton, Olahraga, Karate, Bola Jaring, Pencak Silat, Woodball, Bola Tampar (Lelaki & Wanita), Petanque, Sepak Takraw, e-Sport (Mobile Legend), Memanah dan Bola Keranjang.
Untuk edisi ke-6 ini, sebanyak 76 kontinjen dari Universiti Awam , Swasta, Institut Perguruan, Politeknik, Kolej Komuniti dan Kolej Vokasional bakal mengambil bahagian.