Oleh Prof. Dr. Zarina Othman dan Rahayu Abdul Rahim
Foto Ahmad Fauzan bin Rathuan@Radzuan
BANGI, 26 Jun 2023 – Seramai 27 siswazah dari Program Analisis Strategi dan Keselamatan (SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terlibat dengan Program Jaringan Siswazah Nusantara (JSN) yang diadakan di tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Program JSN Siri 9 yang diadakan baru-baru ini dengan tema “Mobaliti ke Selatan Tanahair: Antara Realiti & Aspirasi” bertujuan untuk membantu pelajar mendalami isu-isu globalisasi dan keselamatan dalam konteks realiti, di samping dapat mendekatkan diri dengan masyarakat setempat melalui tanggungjawab sosial korporat.
Peserta yang diiringi oleh empat orang pensyarah telah menjelajah Kampung Sungai Machang, Ulu Lenggeng, Negeri Sembilan, bagi memberi sumbangan barangan keperluan rumah kepada penduduk yang memerlukan, selain turut membantu membersihkan dan menyalurkan bantuan peralatan rumah kepada dua buah rumah penduduk yang daif.
Selain itu, peserta program JSN itu juga turut ke Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) bagi mengikuti pembentangan kajian mengenai “Ketahanan Nasional, Gaya Lee Kuan Yew: Iktibar dalam Mentadbir Persekitaran Majmuk” dan juga sesi forum tentang keselamatan rantau.
Antara aktiviti lain yang dilakukan oleh kumpulan pelajar tersebut adalah lawatan ke Penjara Simpang Renggam, meninjau Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) untuk melihat dengan lebih dekat pergerakan orang ramai dan kenderaan keluar masuk sempadan Malaysia-Singapura, disamping mengkaji cabaran pengoperasian ICQ serta lawatan ke Anjung Singgah, iaitu tempat perumahan gelandangan bagi membantu warga tempatan mendapat tempat tinggal sementara menunggu pekerjaan.
Selain itu, para peserta juga dibawa meninjau kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura iaitu Pulau Batu Puteh dan Pulau Batuan Tengah. Mereka juga turut dijemput ke majlis Makan Malam bersama Pejabat Menteri Besar Johor.
Program mobiliti JSN diakhiri dengan lawatan ke Muzium Sejarah dan Ethnografi Melaka di bangunan Stadthuys yang merupakan peninggalan penjajah Belanda pada tahun 1650an. JSN adalah program mobaliti yang banyak membuka minda dan mata peserta kerana pengisiannya yang menyeluruh seperti mengenali negara, sejarah dan isu keselamatan dengan lebih dekat.