Oleh Murniati Abu Karim
Foto Mohd Shahril Dzulkiflee
BANGI, 9 November 2023 – Seramai 35 pelajar baharu Universiti Kebangsaan Malaysia dari golongan asnaf telah menerima komputer riba daripada pihak AFFIN ISLAMIC serta pakej pelan data Internet percuma selama setahun meerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro.
Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama Harian Metro dengan Affin Bank Berhad (AFFIN BANK) dan Affin Islamic Bank Berhad (AFFIN ISLAMIC) melalui program ‘virtue education’.
Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi AFFIN BANK, Dato’ Agil Natt dan Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro.
Husain Jahit berkata pihak Harian Metro amat berbesar hati kerana sekali lagi diberi kepercayaan oleh AFFIN BANK dan AFFIN ISLAMIC untuk menjayakan program ‘virtue education’ ini buat tahun yang kedua.
Jelasnya, kerjasama dalam bidang pendidikan ini telahpun dilaksanakan pada tahun lepas dimana sumbangan komputer riba disampaikan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah atas di negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
“Sebagai rakan media, kami amat teruja dapat meneruskan usaha murni ini kerana kami percaya tanggungjawab untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada pelajar bukan sahaja terletak di bahu pihak Universiti dan Kementerian Pendidikan semata-mata, tetapi ini adalah tanggungjawab semua pihak.
“Kami di Harian Metro bertindak sebagai pembuka jalan dan syukur Alhamdulillah, kerjasama dengan pihak AFFIN BANK dan AFFIN ISLAMIC dapat diteruskan untuk kita sama-sama membantu menjaga kebajikan pelajar dan memastikan aktiviti pembelajaran mereka berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
“Harapan kami semoga sumbangan ini dapat memudahkan aktiviti pembelajaran pelajar-pelajar universiti disini sekaligus dapat menyuntik semangat mereka agar lebih gigih berusaha untuk menimba ilmu pengetahuan dan menamatkan pengajian dengan cemerlang,” tambahnya.